Hmetro : Pulau Pinang tamat kemarau

Kuching: Penantian untuk memenangi pingat emas akhirnya berjaya direalisasikan oleh skuad hoki Pulau Pinang selepas menewaskan Perlis 2-1 pada aksi final hoki lelaki semalam.

Ketua jurulatih B Rajendran berkata, pencapaian itu adalah sejarah baru untuk skuad hoki negeri.

“Inilah pingat emas pertama kami dalam sejarah pembabitan SUKMA. Kami pernah meraih pingat perak pada 2002 dan beberapa kali memenangi gangsa.


“Tetapi kali ini, emas yang dimenangi ini mengubat kekecewaan kami selama ini,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Jelas Rajendran, setiap pemain berhak untuk menikmati kejayaan bersejarah itu kerana mereka bersungguh-sungguh melakukan persiapan sebelum ini.

“Mereka bangun awal pagi untuk menjalani latihan tanpa perlu diarahkan.

“Kemudian kami membawa mereka ke Perth (Australia) selama seminggu sebagai sebahagian persediaan ke SUKMA dan di situ, mereka benar-benar menunjukkan semangat untuk memenangi pingat emas,” katanya yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kejurulatihan.

Sementara itu, dalam acara skuad hoki wanita, Melaka menewaskan Selangor 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 5:11 AM

No comments

Powered by Blogger.