Faizal dapat gigi 'baharu' bulan ini

KUALA LUMPUR: Mungkin sesetengah orang 'kehilangan' gigi depan sebagai suatu yang memalukan, tetapi tidak bagi penyerang sensasi hoki negara, Faizal Saari yang menganggapnya asam garam sebagai atlet.

Dia yang patah empat gigi depan akibat disiku pemain Pakistan ketika membantu Malaysian Tigers menundukkan lawan itu 3-2 dalam aksi round robin Piala Asia bulan lalu, mengesahkan akan menanam gigi baharu selepas berakhir saingan Piala Razak di Ipoh, Perak, bermula Sabtu hingga 12 November ini.

"Mengapa perlu malu. Bagi saya ia perkara biasa," katanya yang akan turun membantu Terengganu mempertahankan kejuaraan Piala Razak yang dimenangi tahun lalu.

"Buat masa ini, saya hanya pakai gigi palsu, insya-Allah kalau ikut temujanji yang ditetapkan doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas berakhir Piala Razak saya akan mendapat gigi baharu."

Di Dhaka bulan lalu, skuad kendalian Stephen Van Huizen memahat sejarah baharu muncul sebagai naib juara Piala Asia buat kali pertama sekali gus mengatasi pencapaian tempat ketiga pada edisi 2007 di Chennai, India.

Bagaimanapun, kejayaan itu hadir dengan pengorbanan luar biasa pemain termasuk insiden Faizal patah empat batang gigi, adiknya Fitri terpaksa pulang ke tanah air kerana anaknya kritikal dan kembali menyertai pasukan beberapa jam sebelum berdepan Pakistan.

Bukan itu sahaja, penjaga gol negara, S Kumar tidak dapat menyambut Deepavali bersama keluarga buat kali ketujuh berturut-turut kerana komitmen kepada negara.

"Kejayaan ini amat berbaloi, apatah lagi, ia bukan mudah. Malah, pasukan kita yang hebat sebelum ini pun tidak berupaya mencapai pentas final Piala Asia," kata penyerang berusia 26 tahun itu.

Oleh Naqib Nor Said
naqib@bh.com.my

No comments

Powered by Blogger.