Giliran Syamim ditawarkan peluang menyarung jersi Al Seeb

OMAN menyedari mutu saingan liga hoki negara itu akan lebih berkualiti sekiranya mengambil ramai pemain ‘import’ daripada pasukan ranking lebih tinggi daripada mereka, No. 32 dunia.

Ternyata situasi itu tepat apabila Oman ‘memborong’ ramai pemain hoki lelaki negara untuk mewakili kelab-kelab tempatan mereka dalam Liga Kebangsaan Oman kerana Malaysia menghuni ranking ke-12 dunia.


‘Mesin gol’ pasukan kebangsaan, Faizal Saari dijemput mewakili Kelab Hoki Sohar selama sebulan bersama Muhammad Hafiz Zainol serta G. Kavin Kartik dan telah beraksi bersama pasukan tersebut.

Selain mereka bertiga, arkitek tengah skuad negara, Mohd. Fitri Saari juga telah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam untuk menyarung jersi kelab Al Seeb selama sebulan.

Terbaharu, giliran bekas penyerang negara, Mohd. Syamim Mohd. Yusoff ditawarkan peluang mewakili Al Seeb mengharungi kempen Piala Hoki Sultan Qaboos yang sedang berlangsung hingga 20 Disember depan.

Syamim, 25, tidak rela melepaskan peluang tersebut walaupun bintang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) itu baru pulang ke tanah air selepas tiga bulan bermain dengan Pistoia dalam sai­ngan divisyen dua Itali.

“Niat saya ke Oman sama seperti di Itali iaitu memastikan saya sentiasa berada pada tahap kecergasan terbaik agar dapat kembali menemui sentuhan lama.

“Saya mahu terus beraksi dengan cemerlang sebelum bermula saingan Liga Hoki Malaysia tahun depan. Ini antara inisiatif yang saya boleh lakukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Syamim yang mahu mencuba sedaya upaya untuk kembali tersenarai dalam skuad negara, dijangka berlepas ke Oman esok.

Difahamkan, selain Sya­mim, turut mendapat tawaran ke Oman ialah pakar flick skuad negara, Muhammad Razie Abd. Rahim, Dedy Ariyadi Jumaidi dan Shazrul Imran Nazli.

No comments

Powered by Blogger.