Kejutan Pulau Pinang

PENDATANG baharu, Pulau Pinang melakukan kejutan apabila mengikat juara bertahan, Terengganu 4-4 dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Hoki Piala Tun Razak di Stadium Azlan Shah, Ipoh, sebentar tadi. 

Jangkaan anak buah Sarjit Singh akan menang mudah selepas mendahului 4-1 meleset apabila Pulau Pinang yang pertama kali beraksi dalam divisyen satu bangkit di penghujung perlawanan dengan meledak tiga gol.

Begitupun, Terengganu hanya boleh menyalahkan diri sendiri berikutan kegagalan itu apabila gagal mempertahankan kelebihan dimiliki. 

Sebaliknya, Pulau Pinang harus diberi pujian kerana berjuang hingga ke wisel penamat untuk menafikan kemenangan pasukan juara itu. 

Muhammad Haikal Abdul Mutalib muncul wira Pulau Pinang apabila menyumbang hatrik melalui pukulan sudut penalti.   

Terengganu walaupun menguasai permainan terpaksa menunggu selama 26 minit sebelum berjaya memecah kebuntuan melalui pukulan sudut penalti Faizal Shaari.   

Muhammad Amirul Mirza Rozi mengukuhkan kedudukan Terengganu hasil jaringan padang pada minit ke-37 untuk mendahului 2-0 di akhir suku ketiga.  

Namun, suku keempat menyaksikan drama gol selepas Pulau Pinang merapatkan jurang melalui Haikal pada m-52. 

Terengganu tampak menuju kemenangan mudah apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh seminit melalui Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Faizal pada m-53 dan 54. 

Bagaimanapun, kelemahan benteng terutama penjaga gol Terengganu, Mohd Hafizuddin Othman membawa padah apabila Haikal dan Muhammad Rasid Baharom melakukan tindakan pemusnah dalam baki lima minit terakhir.   

Sementara itu, Pahang membelasah Kelantan 6-1 dalam perlawanan divisyen dua selepas mendahului 4-0 pada separuh pertama.

HMetro
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 10:00 PM

No comments

Powered by Blogger.