KOSMO : 24 pemain Malaysian Tigers terpilih

TEKA-TEKI 24 pemain skuad hoki lelaki negara yang diserapkan ke dalam Program Podium berkuat kuasa 1 Januari depan akhirnya terjawab.

Semalam, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mendedahkan senarai 24 nama yang terpilih untuk menggalas cabaran Malaysian Tigers mengharungi tiga kejohanan besar tahun depan.


Tiga kejohanan itu adalah Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia (April), Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia (Ogos) serta Piala Dunia di Bhubaneswar, India pada November tahun depan.

Ketua jurulatih Malaysian Tigers, Stephen van Huizen  menjelaskan, pemilihan nama-nama tersebut berdasarkan penilaian terhadap prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh 24 pemain itu sepanjang saingan tahun ini.

“Ini adalah pemain terbaik untuk mengikuti Program Podium. Saya harap pemain terpilih akan menggalas tugas mereka dengan sebaik mungkin menghadapi tiga kejohanan penting tahun depan.

“Saya juga berharap pemain-pemain ini akan menggandakan usaha bagi memastikan Malaysia mencipta kejayaan gemilang dalam semua kejohanan disertai selepas ini,” katanya dipetik dalam kenyataan rasmi MHC.

Dalam senarai tersebut, Van Huizen memilih untuk menyenaraikan bekas penyerang Skuad Projek 2016, Norsyafiq Sumantri menggantikan tempat Muhammad Rashid Baharom yang digugurkan.

Selain 24 nama tersebut, Huizen turut menjelaskan keputusannya menyenaraikan empat pemain tambahan yang tidak tersenarai dalam Program Podium untuk mengikuti program skuad kebangsaan bagi sesi tahun depan.

Empat nama itu ialah dua pemain pertahanan, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Muhammad Najib Abu Hassan, Mohd. Ashran Hamsani (te­ngah) dan Muhammad Sufi Ismat Rohulamin (penyerang).

No comments

Powered by Blogger.