KOSMO : Zulaika mahu jadi sehebat Nuraini

PENYERANG Pahang, Siti Zulaika Hussin amat teruja seandainya ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berminat menyenaraikan namanya dalam pasukan kebangsaan selepas ini.

Kecemerlangan Zulaika seharusnya mampu memikat hati Dhaarma, 48, kerana penyerang cilik berusia 16 tahun itu masih berupaya mempamerkan gaya permainan menarik biarpun Pahang dibarisi pemain skuad kebangsaan.


Apa tidaknya, pemain dari Rompin, Pahang itu berani bermain aksi sebenar menewaskan pemain-pemain lebih dewasa daripada pasukan lain dengan kemahiran menggelecek bola yang tinggi sepanjang saingan Piala Tun Abdul Razak musim ini.

Ketika ditanya adakah berminat menyertai pasukan kebangsaan, Zulaika tanpa berselindung pantas menjawab ‘ya’ kerana mahu mengikut jejak langkah idolanya yang juga pakar pukulan sudut penalti Malaysian Tigress, Nuraini Abdul Rashid.

“Saya mahu membuktikan kepada semua walaupun bersaiz kecil (mempunyai ketinggian 148 sentimeter) tetapi ia tidak menghalang saya untuk berjaya.

“Semua orang tidak tahu bahawa saya sebenarnya boleh melakukan flick. Idola saya ialah Nuraini. Walaupun saiz badannya kecil seperti saya tetapi ia langsung tidak menghalangnya untuk melakukan flick.

“Sekiranya diberikan peluang, memang saya nak sertai latihan dengan skuad kebangsaan. Saya percaya ia akan meningkatkan mutu permainan kerana impian saya mahu bermain pada Piala Dunia dan Sukan Olimpik,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Walaupun Pahang mempu­nyai ramai pemain kebangsaan, namun ia tidak menghalang Zulaika bermain ‘bebas’ dalam mana-mana perlawanan hingga menyaksikan dia berjaya menjaringkan dua gol sepanjang kejohanan itu.

Kebolehan istimewa dimilikinya membolehkan Pahang bergelar naib juara kejohanan itu biarpun gagal mempertahankan kejuaraan musim lalu selepas tewas 2-5 kepada Selangor pada aksi final di Stadium Hoki Kuala Lumpur kelmarin.

Selain Zulaika, beberapa nama lain tentunya sudah berada dalam radar Dhaarma antaranya dua pemain muda Selangor, Nor Atira Mohammad Ismail, 16, dan Dayang Nuramirah Abang Mahadini, 16, serta penjaga gol Perak, Ain Nur Nasiha Yahaya, 18.

No comments

Powered by Blogger.