Pertembungan epik Razie, Kumar
![]() |
| RAZIE (kanan) mahu menjaringkan gol, sekali gus memastikan PDRM mara ke separuh akhir Divisyen Satu Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh malam ini. |
KAPTEN Polis Diraja Malaysia (PDRM), Muhammad Razie Abd. Rahim yakin menjaringkan gol dengan menewaskan penjaga gawang Negeri Sembilan, S. Kumar menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Divisyen Satu Piala Tun Abdul Razak malam ini.
Razie, 30, amat mengenali kelemahan serta kekuatan Kumar, 37, memandangkan kedua-dua pemain itu sudah lama berlatih dan bermain bersama-sama dalam pasukan kebangsaan.
Biarpun Kumar juga mengetahui ‘rahsia’ Razie ketika mengambil pukulan sudut penalti, namun dia percaya mampu menewaskan penjaga gol terbaik Separuh Akhir Liga Hoki Dunia itu pada aksi di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak malam ini.
“Esok (malam ini) adalah perlawanan terakhir Kumpulan A. Kami sebelum ini seri dua perlawanan berturut-turut, jadi kami perlu menang ke atas Negeri Sembilan esok (malam ini) untuk layak ke separuh akhir.
“Semua orang tahu Negeri Sembilan mempunyai dua pemain hebat iaitu Kumar dan Muhammad Marhan Mohd. Jalil (tengah). Barisan serangan kami tidak boleh ambil mudah terutama dalam aspek pukulan sudut penalti.
“Bagaimanapun, saya rasa tiada masalah untuk saya menentang Kumar kerana saya juga tahu kelemahan dan kekuatan dia. Mungkin agak sukar untuk dia membaca flick saya esok (malam ini),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pakar flick Kelab Hoki Kuala Lumpur itu sudah menjaringkan tiga gol menerusi kepakarannya iaitu pukulan sudut penalti dalam dua perlawanan terakhir Kumpulan A yang menyaksikan PDRM seri 4-4 dengan Johor dan 2-2 terhadap Perak.
Negeri Sembilan pula tewas 2-3 kepada Perak dalam aksi pertama (5 November) sebelum seri 1-1 dengan Johor pada perlawanan kedua Kumpulan A, Isnin lalu.
Sehubungan itu, PDRM yang merupakan naib juara Divisyen Satu musim lalu perlu menewaskan Negeri Sembilan untuk melayakkan diri ke pentas separuh akhir bersama pemenang antara Perak dan Johor. KOSMO

Post a Comment