BH : Van Huizen ada pelan B

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen mengakui mempunyai pelan B dalam menghadapi situasi membabitkan penjaga gol utamanya, S Kumar yang digantung sementara dua tahun berikutan positif ujian doping ketika Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

Jelas Van Huizen, dengan ketiadaan Kumar untuk sementara waktu ini, beliau mengharapkan kecemerlangan penjaga gol lain seperti Hafizuddin Othman dan Hairi Abdul Rahman untuk menggalas tugas ditinggalkan penjaga gol veteran berusia 38 tahun itu.

"Sebagai jurulatih sudah tentu saya mempunyai pelan B jika berlaku perkara mengejutkan seperti ini.

"Kumar sudah memberi banyak sumbangan kepada negara. Jika dia tidak terbabit dengan kes doping ini, pasti tiba masanya nanti dia akan bersara juga.

"Jadi saya perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan seperti itu," katanya.

Tambah Van Huizen, penjaga gol seperti Hafizuddin dan Hairi perlu memanfaatkan peluang ini dengan sebaik-baiknya untuk diberi kepercayaan beraksi di kejohanan besar sepanjang ketiadaan Kumar.

"Bukan kita tidak mahu Kumar kembali semula, tapi untuk situasi terkini saya harap Hafizuddin dan Hairi dapat bersedia sepenuhnya untuk tugasan tahun depan seperti Piala Sultan Azlan Shah dan Sukan Komanwel," katanya.

Van Huizen berkata, secara peribadi beliau juga terkejut dengan nasib yang menimpa Kumar.

"Dia pemain paling senior dan mentor kepada pemain muda lain. Apapun kami menghormati keputusan dilakukan FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa)," katanya.

Kumar enggan mencabar dengan mengambil sampel B, sebaliknya mahu terus melalui proses pendengaran untuk membela diri yang dijadual Januari ini sekali gus mengharapkan hukuman diringankan dan dia boleh beraksi semula secepat mungkin bersama skuad negara.

No comments

Powered by Blogger.