HMETRO : MHC sedia wujud pelapis wanita

SEBUAH pasukan yang memfokuskan kepada pemain bawah 21 tahun wanita sepenuhnya akan dibentuk sebagai persediaan menghadapi kejohanan antarabangsa wanita bawah 21 tahun tahun depan.

Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Dr S Shamala berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia memberi fokus mewujudkan pasukan itu bukan saja untuk menghadapi kejohanan yang julung kali bakal dianjurkan, tetapi sebagai pelapis kepada skuad senior negara.

“Sebelum ini kita mempunyai pasukan pembangunan, tetapi rata-rata pemainnya adalah skuad senior yang kemudian dibentuk untuk menghadapi acara hoki dalam dewan di Sukan SEA Kuala Lumpur.

“Jadi sekarang rombakan perlu dilakukan untuk pasukan ini dengan memilih pemain bawah 21 tahun negara.

“Saya fikir tak ada masalah untuk mencari pemain pada peringkat umur ini. Sebab dalam skuad senior negara pun ada pemain yang berumur 16 tahun,” katanya.

Mengenai kejohanan itu, Shamala berkata, sehingga kini semuanya berjalan lancar dan positif, jadi tidak mustahil untuk Malaysia menganjurkannya buat kali pertama tahun depan.

“Ketika ini, kami sedang mencari lokasi yang sesuai untuk menganjurkan kejohanan ini,” katanya.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal menerusi laporan sebelum ini berkata, badan induk itu sedang berusaha untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa wanita bawah 21 tahun.

Jelas beliau, cadangan itu timbul selepas menyaksikan tidak banyak kejohanan antarabangsa membabitkan pasukan wanita ketika ini.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 10:16 PM

No comments

Powered by Blogger.