Kosmo : Faizal sedia bergurukan Peillat

BINTANG sensasi skuad hoki lelaki negara, Faizal Saari memasang impian untuk membantu Malaysian Tigers layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun dengan tiket sebagai juara be­nua Asia.

Faizal, 26, mahu memastikan pingat emas Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia, Ogos depan menjadi milik negara, sekali gus menamatkan penantian 27 tahun ke Sukan Olimpik selepas kali terakhir layak di Sydney, Australia pada 2000.

Justeru, ‘mesin gol’ Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu mahu memastikan prestasinya kekal berada pada tahap kemuncak sepanjang saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2018 yang akan membuka tirainya bermula 3 Januari depan.

Malah, Faizal sedia belajar ilmu-ilmu baharu terutama daripada tonggak import THT dari Argentina, Gonzalo Peillat yang juga pakar flick dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 bagi memastikan penyudahnya sentiasa tajam.

“Saya akan meneruskan peningkatan prestasi pada setiap perlawanan kerana sasaran kami besar pada tahun depan iaitu layak ke Sukan Olimpik 2020 dan pada masa sama bakal menghadapi Piala Dunia 2018.


“Kehadiran Peillat dalam THT bagus buat Malaysia kerana ia secara tidak langsung merancakkan saingan MHL dan banyak yang boleh kami pelajari. Bukan dia sahaja, malah daripada pemain-pemain berkelas dunia dari Australia dan Republik Ireland.

“Saya harap dapat belajar daripada Peillat terutama dari segi dragflick kerana dia adalah flicker terbaik dunia buat masa ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan THT di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.

Kehebatan Peillat, 25, tidak perlu dipertikaikan lagi selepas dia membantu Argentina, ranking No. 2 dunia, memenangi pingat gangsa Piala Dunia 2014, pingat emas Sukan Olimpik 2016 dan tempat kedua Final Liga Hoki Dunia 2017.

Lebih manis, bintang dari Beunos Aires itu muncul penjaring terbanyak Piala Dunia 2014 dengan 10 gol, Sukan Olimpik 2016 (14 gol) dan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2017 (14 gol).

Faizal yang juga pakar flick negara tentunya boleh mempelajari sesuatu daripada Peillat memandangkan mereka berdua akan bergilir-gilir mengambil pukulan sudut penalti buat THT pada saingan MHL musim depan.

No comments

Powered by Blogger.