Arena : TNB lakar kejutan tewaskan KLHC

Selepas membenam UniKL dua hari lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus membuktikan labelnya selaku 'pembunuh gergasi' apabila membelasah Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 4-2 dalam aksi kedua Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Kemenangan itu bukan saja mengekalkan rekod permulaan sempurna TNB tetapi juga menyaksikan skuad kendalian Nor Saiful Zaini itu mengukuhkan kedudukan di persada liga dengan enam mata manakala KLHC pula terus kekal dengan rekod tanpa kemenangan.


Nor Saiful ketika mendedahkan resipi kejayaan pasukannya berkata ia berpunca daripada langkah menerapkan strategi menyerang sejak awal permainan.

"Memang sejak dari awal kami mengamalkan corak permainan menyerang kerana saya percaya setiap pasukan akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri pada awal permainan.

"Nampaknya misi kami pada hari ini berjaya apabila meraih dua gol awal sebelum kami membunuh semangat mereka menerusi gol ketiga. Bagi saya, mana-mana pasukan sukar untuk bangkit daripada ketinggalan 3-0.

"Cuma strategi ini sedikit memenatkan dan ia jelas kelihatan apabila pemain saya melepaskan dua gol di hujung permainan.

"Tetapi saya berharap mereka sempat berehat untuk perlawanan Rabu ini," kata Nor Saiful sejurus tamat aksi itu.

Sebaik suku pertama bermula, TNB terus garang mengasak menerusi corak permainan pantas dan hanya memerlukan lima minit untuk meledak gol pertama hasil tolakan padu pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.

Gol itu hadir selepas penjaga gol KLHC, Roslan Jamaluddin, sebelum itu bertindak cemerlang menafikan percubaan pukulan sudut penalti  Muhammad Shahril Saabah dan percubaan berbahaya Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Penyerang berusia 18 tahun, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, menambah jaringan kedua TNB lima minit kemudian apabila pukulan kilas cantiknya daripada tengah kawasan D mengelirukan Roslan sebelum Firhan Ashaari menambah derita KLHC pada minit ke-18.

TNB, yang diperkuatkan 10 pemain kebangsaan, terus melakukan asakan bertali arus sepanjang suku ketiga serta keempat dan hasilnya memperoleh gol keempat menerusi tolakan Shahril yang melakukannya dari sudut sukar di sebelah kanan menewaskan Roslan pada minit ke-48.

KLHC yang tenggelam dengan kepantasan pemain TNB akhirnya berjaya menembusi gawang dikawal Hairi Abdul Rahman apabila meledak dua gol menerusi bintang Korea Selatan, Jang Jong-hyun, pada minit ke-51 dan 59.

Bagaimanapun, ia sudah terlambat untuk mereka merakam kebangkitan.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, UniKL menebus kekecewaan tewas kepada TNB dalam perlawanan pertama liga apabila membelasah Maybank 6-0.

Di Stadium Batu Buruk, Kuala Terengganu pula, Pasukan Hoki Terengganu (THT) menewaskan TNB Thunderbolts 6-2.

Keputusan hari ini:

TNB 4  KLHC 2
UniKL  0 Maybank 6
THT  6 TNB Thunderbolts 2

No comments

Powered by Blogger.