BH : Maybank terkena renjatan Thunderbolts

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih TNB Thunderbolts, Muhamad Amin Rahim memuji barisan pemainnya selepas melakar kejutan dengan menewaskan Maybank 2-1 pada aksi pembuka tirai Liga Perdana di Stadium Hoki Bukit Jalil, hari ini.

Jelas Amin, barisan pemainnya mempamerkan semangat melawan yang tinggi dan memanfaatkan peluang sebaik-baiknya untuk menjaringkan gol.

"Mereka memberikan komitmen lebih 100 peratus selain mengikut perancangan yang saya mahukan. Akhirnya keputusan memihak kepada kami.

"Kami sudah mengkaji corak permainan Maybank sebelum ini dan kami menggunakan kelemahan yang ada pada pihak lawan dalam usaha mendapatkan kemenangan ini," katanya.

Bekas pakar pukulan sudut penalti negara itu juga memuji beberapa pemain senior yang mempamerkan karakter sebagai 'jurulatih' ketika beraksi di atas padang.

"Kami hanya ada beberapa pemain senior dan mereka ini saya anggap sebagai jurulatih kerana kerap memberikan input kepada saya," katanya.

Pada perlawanan hari ini, Maybank di depan seawal minit kelapan selepas Wookey Oscar William tenang menyempurnakan penalti stroke.

Namun TNB Thunderbolts yang rata-ratanya dibarisi pemain muda, berjaya menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti Muhammad Arif Syafie Ishak pada minit ke-43.

Arif Sabron muncul wira Thunderbolts apabila menjaringkan gol kemenangan seminit sebelum tamat perlawanan hasil jaringan padang.

No comments

Powered by Blogger.