BHarian : Blue Warriors nyaris aib

KUALA LUMPUR: Naib juara Liga Hoki Wanita Malaysia musim lalu, Blue Warriors terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan UiTM-KPT 4-3 di Stadium Hoki Nasional, hari ini.

Aksi kurang meyakinkan Blue Warriors itu mencetuskan rasa kurang senang pengendalinya, Zulkhairi Ariffin yang mengakui barisan pemainnya tidak beraksi di tahap sebenar.

"Sepatutnya kami mampu mencatat keputusan lebih baik, tetapi pemain tidak mempamerkan aksi tersusun selain tidak mengikut arahan yang diberikan.
"Akhirnya mereka membuat keputusan sendiri di atas padang dan ia menjadikan situasi semakin sukar apabila kedudukan terikat 3-3.


"Mujur kami meraih gol kemenangan pada hujung perlawanan untuk meraih tiga mata penuh," katanya yang mengakui pujian wajar diberikan kepada barisan pemain UiTM-KPT yang memberikan saingan sengit.

Bagaimanapun, Blue Warriors bermula baik apabila terlebih dahulu di depan menerusi jaringan padang pemain kebangsaan, Norbaini Hashim pada minit ke-11.

Gol itu tidak mematahkan semangat UiTM-KPT apabila bangkit menyamakan kedudukan empat minit kemudian hasil pukulan sudut penalti tonggak import, Feriana.

Blue Warriors kemudian berada di depan kembali menerusi dua gol padang sumbangan Reena Rani dan Norbaini masing-masing pada minit ke-18 dan 26, namun UiTM-KPT bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Nurfatin Dizana Mohd Zaidi dan Nur Atira Mohamad Ismail pada minit ke-30 dan 38.

Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, tonggak import, Narinder Kaur tampil menyelamatkan maruah Blue Warriors apabila menjaringkan gol kemenangan seminit sebelum tamat perlawanan.

______________________________

KEPUTUSAN

TLHT 4 MSN Kedah 0

KL Wipers 1 Penang Juniors 1

UiTM-KPT 3 Blue Warriors 4

No comments

Powered by Blogger.