BHarian : Nik Aiman sambung 'talian hayat' TNB

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus menghidupkan peluang untuk merebut kejuaraan hoki Liga Perdana selepas menewaskan pasukan berstatus 'adik', TNB Thunderbolts 6-0, sebentar tadi.

Penyerang kebangsaan, Nik Aiman Nik Rozemi menjadi watak penting di sebalik kejayaan pasukannya itu apabila meledak hatrik sekaligus menyaksikan TNB kini mengumpul 16 mata selepas lapan perlawanan.

"Sudah tentu saya gembira kerana dapat menjaringkan hatrik untuk pasukan, tetapi apa yang lebih penting adalah kami perlu mempamerkan aksi lebih baik pada baki dua perlawanan selepas ini menentang KLHC (Kelab Hoki Kuala Lumpur) dan UniKL (Universiti Kuala Lumpur).


"Berdasarkan pungutan mata, memang kami masih ada peluang untuk merebut kejuaraan liga.

"Tetapi semunya bergantung kepada usaha setiap pemain, kerana kami tidak boleh mencicirkan mata lagi pada baki dua perlawanan itu nanti," katanya.

Kekalahan kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada perlawanan terakhir liga nyata tidak melemahkan semangat anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin apabila mereka berada di depan seawal minit kedua, selepas Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menolak cantik pukulan sudut penalti.

Bersambung separuh masa kedua, Syarman Mat Tee menjadikan kedudukan 2-0, hasil jaringan padang pada minit ke-36, sebelum Nik Aiman menambah gol ketiga pada minit ke-39.

Seminit kemudian, Mohamad Akhimullah Anuar Esook menghukum pertahanan TNB dengan menjaringkan gol padang.

Nik Aiman terus mengukuhkan kedudukan TNB apabila menjaringkan gol kelima, menerusi jaringan padang minit ke-54 sebelum dia meledak hatrik seminit sebelum tamat perlawanan hasil pukulan sudut penalti.

No comments

Powered by Blogger.