HMetro : Shaiful pertahan awang import

PENGENDALI Maybank, Shaiful Azli Abd Rahman tetap mempertahankan prestasi awang importnya meskipun terus gagal mencatat sebarang kemenangan Liga Perdana kali ini tewas di tangan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 1-3 di Stadium KLHA, sebentar tadi.

Selepas tumpas kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-2 Rabu lalu, semangat pemain Maybank yang kini menghuni tangga tercorot liga dengan satu mata sekali lagi direntap sekali gus menimbulkan persoalan terhadap kemampuan enam pemain importnya.

Namun, Shaiful tenang dengan melabelkan pemain importnya sudah memberikan yang terbaik dan hanya tewas kepada pasukan yang tampil dengan barisan pemain lebih gah.

“Saya berpuas hati dengan persembahan ke semua mereka kerana menunjukkan persembahan yang baik terutamanya penjaga gol dari Australia Leon Hayward yang berhempas pulas menyelamatkan gawang kami daripada dibolosi lebih banyak gol.

“Memang pada awalnya mereka sedikit bergelut kerana menghadapi masalah menyesuaikan diri tetapi makin meningkat dari satu aksi ke aksi lain, malah saya tidak boleh nafikan kesungguhan yang dipamerkan mereka setakat ini,” katanya.


Enam pemain import yang beraksi buat pasukan yang kali terakhir menjuarai saingan liga pada 1995 itu adalah Hayward, Bretherton Patrick, Oscar Wookey, Oscar Allan (Australia), Azfar Yaacob (Pakistan) dan Bertoni Federico (Argentina).

Dalam perlawanan itu, Maybank terlebih dulu di depan menerusi gol pantas penyerang import Allan Oscar William pada minit keempat sebelum KLHC bangkit hasil sumbangan gol Rashid Baharom (14), Syamim Yusof (29) dan Thomas Carson (56).

Ia sekali gus menyaksikan Maybank mengutip kekalahan keenam pada musim ini dengan satu-satunya keputusan seri hadir ketika mengikat TNB 1-1 dalam aksi pusingan pertama liga yang berakhir minggu lalu.

Bagaimanapun, Shaiful tidak mudah panik dengan keputusan mengecewakan itu sambil menjelaskan objektif utama Maybank kali ini adalah menyediakan sebuah platform bagi pemain tempatan beraksi.

“Kalau kita semata-mata hanya fikirkan kejuaraan tanpa fikirkan pembangunan pemain tempatan, boleh saja kita membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk mendapatkan import berkualiti... Tetapi kita berpendapat lebih baik kita labur untuk pemain tempatan.

“Malah, dengan keadaan harga pasaran pemain yang tinggi ketika ini Maybank lebih gemar berbelanja mengikut kemampuan dan jika dibandingkan pemain import kami dengan pasukan lain mereka hanya dibezakan kerana kurangnya pendedahan antarabangsa dan bayaran diterima mereka juga tiga hingga lima kali lebih rendah.”

No comments

Powered by Blogger.