Kosmo : Hajat besar UniKL musim baharu

KAPTEN skuad hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhammad Mar­han Mohd. Jalil menegaskan, mereka sudah bersedia memastikan impian bergelar juara Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini tercapai.

Marhan, 28, mengakui dia dan rakan-rakan sepasukannya sudah mendapat pengajaran berguna selepas terlepas peluang merangkul gelaran pertama iaitu Piala Tan Sri P. Alagendra 2018 apabila tersingkir di pentas separuh akhir musim ini.



Bagi memastikan impian bergelar juara Divisyen Premier tercapai, Marhan yang juga arkitek bahagian tengah skuad hoki lelaki kebangsaan berharap UniKL dapat memulakan kempen musim ini dengan langkah kanan pada aksi pertama esok.

“Kami perlu melupakan kekalahan separuh akhir Piala Alagendra dan bersedia sepenuhnya agar dapat meraih tiga mata penuh ke atas TNB (Tenaga Nasional Berhad) dalam perlawanan pertama di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

“UniKL boleh dikatakan bernasib baik kerana berjaya mendapatkan beberapa pemain import yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa. Saya percaya kehadiran mereka akan membantu kami mencapai sasaran musim ini,” katanya.

Enam import pengalaman UniKL musim ini ialah Penjaga Gol Terbaik Dunia 2015 dan 2016 dari Ireland, David Harte; dua bintang Belanda, Sander de Wijn dan Jeroen Hertzberger serta tiga tonggak Australia, Kieran Govers, Glenn Turner dan Tim Deavin.

Menjelang pertembungan dengan TNB esok, Marhan me­ngakui UniKL perlu berwaspada dengan dua penyerang baharu pasukan itu yang juga rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan iaitu Muhammad Firhan Ashari dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil.

“Kami akan bermasalah jika memberikan ruang kepada Teng­ku Ahmad Tajuddin dan Firhan. Jadi kami perlu memastikan pemain-pemain TNB tidak mempunyai ruang selesa untuk melakukan percubaan,” jelas­nya.

Selain perlawanan antara UniKL dan TNB, turut memulakan aksi pertama di Stadium Hoki Nasional esok ialah TNB Thunderbolts menentang Maybank.

Juara baharu Piala Tan Sri P. Alagen­dra, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) akan berentap dengan naib juara kejohanan itu, Pasukan Hoki Terengganu (THT) merebut trofi Piala Sumbangsih dan pemenang perlawanan itu akan meraih tiga mata.

No comments

Powered by Blogger.