Kosmo : THT serius buru Piala Sumbangsih

KAPTEN Pasukan Hoki Terengganu (THT), Mohd. Fitri Saari bertekad membalas dendam kekalahan di ta­ngan musuh tradisi, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) menje­lang pertembungan Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu hari ini.

THT dilihat masih ‘terluka’ ekoran kegagalan mempertahankan gelaran Piala Tan Sri P. Alagendra selepas tidak bernasib baik tewas 3-4 melalui penentuan pukulan penalti kepada KLHC setelah terikat 3-3 pada aksi final musim ini, Ahad lalu.


Sehubungan itu, Fitri, 25, melaungkan amaran kepada KLHC yang juga juara bertahan Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL), berwaspada de­ngan amukan THT, apatah lagi mereka akan beraksi di hadapan penyokong-penyokong sendiri hari ini.


“KLHC tahun ini kuat kerana semua pemain tempatan mereka boleh bermain dan mempunyai import-import bernama besar dari Australia. Kami akan membalas dendam selepas apa yang mereka lakukan kepada kami (final Piala Alagendra).

“Kalau tengok di persatuan, kami dah menang semua trofi kecuali Piala Sumbangsih. Kami sentiasa kempunan untuk memenangi piala ini kerana kalah kepada KLHC.

“Jadi, kami tidak boleh kalah di Terengganu dan akan cuba sebaik mungkin untuk menang esok (hari ini). Kami akan pastikan kemenangan menjadi milik THT,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Fitri yang juga ‘arkitek’ bahagian tengah skuad kebangsaan, menggesa rakan-rakan sepasukannya agar memberikan fokus sepenuhnya dan mengelak daripada terleka walaupun satu saat ke­rana ia mampu mengundang padah menentang gergasi seperti KLHC.

Pada masa sama, Fitri berharap mereka tidak akan mensia-siakan kekuatan yang dimiliki THT dari segi pukulan sudut penalti memandang­kan mempunyai pakar flick dunia dari Argentina, Gonzalo Peillat.

“Kelekaan walaupun satu atau dua saat boleh menyebabkan kami bolos. Kalau boleh, jangan melakukan kesilapan-kesilapan mudah dan mensia-siakan peluang yang ada.

“Manfaatkan sepenuhnya pukulan sudut penalti kerana ia adalah senjata utama kami. Saya sedikit lega kerana seorang lagi import dari Argentina, Lopez Barreiros yang tidak bermain final (Ahad lalu) sudah boleh ber­aksi,” jelasnya.

No comments

Powered by Blogger.