Kosmo : Wujudkan sistem video referral

KAPTEN Pasukan Hoki Terengganu (THT), Mohd. Fitri Saari mencadangkan agar diwujudkan sistem video referral dalam saingan Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini memandangkan kesemua perlawanan disiarkan secara langsung.

Fitri, 25, menganggap pelaksa­naan sistem tersebut bukan sahaja akan memberi keadilan kepada enam pasukan bertanding musim ini, sebaliknya buat dua pengadil yang bertugas mengadili mana-mana perlawanan.

“Video referral diperlukan dalam dunia hoki moden sekarang. Mahu salahkan pengadil 100 peratus pun tak boleh ke­rana permainan hoki sekarang sangat laju.

“Sebagai contoh, gol THT ketika menentang TNB (Tenaga Nasional Berhad) sah tetapi dibatalkan dan situasi lebih kurang sama berlaku sewaktu bertemu UniKL (Universiti Kuala Lumpur) baru-baru ini.

“Perlawanan sekarang semua­nya siaran langsung, apa salahnya jika ada video referral kerana ia secara tidak langsung dapat membantu pengadil untuk membuat keputusan tepat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

‘Arkitek’ tengah skuad kebangsaan itu berpendapat, pelaksa­naan video referral dapat memajukan liga berprestij negara yang kini diwarnai de­ngan ramai pemain terkemuka dunia seperti Gonzalo Peillat dari Argentina.

Menurut Fitri, sistem tersebut mungkin boleh diwujudkan pada saingan separuh akhir dan final Piala TNB selepas ini, namun le­bih baik sekiranya ia diperkenalkan dalam setiap perlawanan liga sekarang.

No comments

Powered by Blogger.