Arena : Bekalan selesa bukan jaminan buat UniKL

Jurulatih Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj, tidak rela pemainnya leka meskipun mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Terengganu Hockey Team (THT) dalam aksi separuh akhir pertama Piala TNB, hari ini. 

Pertemuan di Stadium Hoki Nasional 2, Bandar Sukan Kuala Lumpur, itu menyaksikan UniKL berdepan cabaran sukar untuk menyekat THT yang baru sahaha bergelar saingan juara Liga Hoki Malaysia (LHM) tempoh hari. 

Tambahan pula, THT turut dalam misi mempertahankan gelaran Piala TNB selain turun sebagai tuan rumah. 

Begitupun, kisah berbeza yang berlaku apabila UniKL lebih selesa dalam mengawal keseluruhan perlawanan sehingga dapat menembusi kubu THT yang dikawal oleh Mohammad Hafizuddin Othman sebanyak empat kali. 

Menurut Arul, situasi itu boleh menerbitkan sikap ambil mudah buat UniKL dalam aksi separuh akhir kedua nanti dan mahu mereka fokus untuk  menghadapi baki 60 minit lagi. 

"Kami tidak akan mengubah pendekatan. Kami tidak akan bertahan, kami akan memulakan permainan seperti hari ini. 

"Mungkin kalau ada pertukaran pun, ia akan dilakukan pada suku keempat sahaja. 

"Kami baru sebelah kaki ke final, apa-apa pun boleh berlaku," kata Arul. 

Dalam masa sama, pengendali THT, Sarjit Singh, tetap mempercayai kemampuan anak didiknya bangkit menjelang pertemuan separuh akhir kedua, Rabu nanti. 

Sungguhpun terpaksa mencari gol awal untuk memburu defisit tiga jaringan, Sarjit beranggapan THT mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian biarpun menyedari UniKL pastinya tampil dengan permainan berbeza. 

Jaringan Joaquin Menini dalam suku keempat memberikan THT sedikit harapan dan pastinya memerlukan kebangkitan menakjubkan andai berhasrat mencapai impian mara ke final. 

"Pertama sekali, kami perlu mendapatkan satu jaringan terlebih dahulu. Kemudian barulah kami menghambat gol kedua dan ketiga.

"Dengan skuad yang ada, kami mampu melakukannya. 

"Saya yakin dengan keupayaan anak buah, harap-harap hari ini hanyalah hari buruk yang dilalui kami," kata Sarjit. 

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, kemenangan tipis 3-2 memihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika berentap dengan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC)

No comments

Powered by Blogger.