Arena : Kami berjuang hingga wisel penamat

"Berjuang walaupun hingga saat akhir," itu kunci utama penyerang sensasi skuad hoki Terengganu Hockey Team (THT), Faizal Saari, yang kembali menghidupkan momentum pasukan dalam 15 minit terakhir sebelum dinobatkan juara Liga Hoki Malaysia (LHM) 2018.

Faizal dilabel sebagai penyelamat apabila gol penyamaannya  pada minit ke-50 menaikkan semula semangat rakan sepasukan untuk terus menambah jaringan selang tiga minit kemudian menerusi Lopez Barreiros.

Walaupun diberi tekanan oleh Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam suku masa ketiga dengan gol pembukaan yang dicetak oleh Nabil Fiqri Mohd Noor, THT tidak mengangkat bendera putih terlalu awal, sebaliknya terus menyerang ke kubu lawan untuk memburu jaringan.

Mentaliti untuk terus bersaing yang menjadi pegangan skuad kendalian Sarjit Singh itu berhasil dan mereka berjaya mencipta peluang meledak dua gol pada saat-saat akhir.

"Sudah dua hari kami bercakap mengenai hal ini. Tidak kira apa yang terjadi, kami tetap meneruskan perancangan awal tetapi sebaik ketinggalan, kami terpaksa mengubah taktik. 

"Ia menjadi dan kami lega," katanya.

Enggan terlalu tertekan, Faizal hanya ingin meraikan kejayaan manis ini terlebih dahulu bersama pasukan sebelum mereka kembali fokus kepada saingan Piala TNB yang bakal bermula Ahad ini.

"Buat masa ini, kami mahu meraikan kejayaan ini sebelum fokus untuk aksi Ahad ini. 

"Kami tidak pernah kalah dalam liga dan kami perlu berhati-hati dan tidak boleh terlalu bangga. 

"Kami perlu fokus satu persatu perlawanan," ujarnya lagi. 

No comments

Powered by Blogger.