Bharian : MHC menanti tarikh pendengaran FIH

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia sudah melakukan yang terbaik bagi membantu penjaga gol, S Kumar menyediakan afidavit untuk diserahkan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Mereka kini sedang menanti tarikh pendengaran kes berkenaan daripada FIH dengan harapan Kumar tidak dikenakan hukuman berat dan boleh bermain pada temasya Sukan Asia bermula 18 Ogos hingga 2 September ini.

"Kami mengambil peguam untuk menyediakan afidavit dan menyerahkannya kepada FIH. Mereka mahu lebih banyak kertas kerja, yang kami juga sudah serahkan dan kini menantikan tarikh pendengaran kes.

"Kami harap dapat mengetahuinya dalam tempoh beberapa minggu daripada FIH mengenai tarikh kes itu. Kami perlukan Kumar bagi Sukan Asia dan kami berharap FIH tidak mengenakan hukuman berat," kata Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal.

Arena hoki Malaysia menerima kejutan besar selepas penjaga gol nombor satu negara itu didapati positif ujian doping ketika Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu.

Dia didakwa menggunakan bahan terlarang sibutramine yang diharamkan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) dan bahan itu digunakan untuk mengurangkan berat badan.

Walaupun menafikan dia menggunakan bahan terbabit, Kumar bagaimanapun tidak mencabar Sampel B.

Harapan Malaysia untuk menang emas pada Sukan Asia dan layak ke Olimpik Tokyo 2020 bergantung kepada kempen kelayakan peringkat serantau.

"Kami mahu mencipta sejarah menang emas pada Sukan Asia dan layak ke Olimpik lebih awal," kata Subahan.

No comments

Powered by Blogger.