BHarian : SSTMI Thunderbolts enggan dabik dada

KUALA LUMPUR: Kehadiran sembilan pemain berpengalaman beraksi dalam saingan Liga Perdana bukan satu tiket buat SSTMI Thunderbolts bergelar juara Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) musim ini.

Sebaliknya pengendali SSTMI Thunderbolts, Wan Roslan Wan Rahman menganggap peluang tetap seimbang bagi semua sembilan pencabar lain apatah lagi beliau berdepan kekangan masa untuk mempersiapkan pasukannya.

"Memang kami dianggap pilihan, tapi sebenarnya tahap saingan musim ini sukar diramal kerana tiga lagi pasukan Thunderbolts mempunyai persiapan rapi.


"Berbanding kami yang hanya mula menjalani latihan secara bersama selepas cuti Tahun Baru Cina kerana sembilan pemain kami sebelum ini beraksi untuk pasukan Tenaga Nasional Berhad dan pasukan TNB Thunderbolts dalam saingan Liga Perdana.

"Jadi, sekarang ini kami masih mencari keserasian dan bagi saya label sebagai pasukan pilihan hanya meningkatkan tekanan kepada anak buah saya," katanya.

Daripada 10 pasukan yang bertanding, SSTMI Thunderbolts yang juga juara bertahan Piala TNB dianggap memiliki kelebihan selepas diperkuatkan tiga pemain TNB dan enam pemain TNB Thunderbolts manakala baki 13 pemain pula beraksi dalam kancah Divisyen 1 Liga Hoki Malaysia.

Tiga pemain TNB itu adalah Shello Silverius, Akhmimullah Anuar Esook dan Syarman Tee, sementara enam pemain TNB Thunderbolts pula terdiri daripada Izham Azhar, Shafiq Hassan, Arif Syafie Ishak, Muhibuddin Moharam, Hazzim Amin Hafidz dan Amirul Hamizan Azahar.

Berbeza dengan ASP-MSP Thunderbolts yang hanya diperkuatkan lima pemain Liga Perdana dengan SSBJ Thunderbolts (tiga pemain) diikuti Anderson Thunderbolts (seorang).

Sebagai rekod, SSTMI Thunderbolts yang memburu gelaran kelima liga gagal mempertahankan kejuaraan liga musim lalu selepas tumpas di tangan MBPJ Tigers. MJHL bermula 7 Mac depan.

No comments

Powered by Blogger.