BHarian : Van Huizen tak peduli keputusan temu Argentina

KUALA LUMPUR: Stephen Van Huizen percaya apa juga keputusan menentang Argentina dalam aksi pemanas badan di sini, Selasa ini tidak akan merencatkan motivasi barisan pemain hoki negara menjelang saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) bermula 3 Mac depan.

Menurut pengendali Malaysian Tigers itu, sebagai pasukan nombor dua dunia Argentina ternyata berada di kelas tersendiri dan beliau lebih berminat menjadikan dua pertemuan pemanas badan menentang skuad kendalian Carlos Retegui itu sebagai pentas menguji kemampuan skuadnya.

"Untuk saya ia (keputusan) tidak penting kerana ia hanya aksi pemanas badan yang mana dijadikan sebagai medan pemilihan pemain untuk dibawa ke PSAS.

"Dan kami juga akan mencuba beberapa kombinasi baharu untuk pertemuan pertama kami pada tahun ini. Ia adalah perlawanan pemanas badan dan bukannya perlawanan ujian, jadi saya tidak mahu terlalu meletakkan tekanan ke atas pemain," katanya.

Argentina yang membuat penampilan sulung di PSAS akan tiba ke Kuala Lumpur, esok sebelum berdepan dua aksi pemanas badan menentang Malaysia yang berada di ranking ke-12 dunia di Stadium Hoki Bukit Jalil masing-masing pada Selasa dan Rabu ini.

Dalam dua pertemuan terakhir di antara kedua-dua pasukan pada kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London Jun lalu, Argentina mudah membenam Malaysia 5-2 dalam aksi kumpulan sebelum terpaksa berhempas pulas mengatasi lawan sama 2-1 pada aksi separuh akhir.

Bagaimanapun, persiapan Malaysia bagi menghadapi PSAS sedikit goyah selepas Van Huizen turut mengesahkan ada beberapa pemain lain masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan termasuk terpaksa melupakan khidmat pertahanan Izad Hakimi Jamaluddin yang mengalami kecederaan ligamen di lutut kanan.

Selain Malaysia dan Argentina, PSAS kali ini turut menyaksikan penyertaan juara sembilan kali Australia, Great Britain (juara bertahan), India (juara lima kali) dan Ireland yang berada dua kedudukan di atas ranking dunia Malaysia.

No comments

Powered by Blogger.