Kosmo : ‘Jangan cepat mengaku kalah’

RAMAI berpendapat sasaran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) ke atas skuad hoki wanita negara adalah sesuatu yang sukar dicapai iaitu sekurang-kurangnya meraih pi­ngat gangsa Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada Ogos depan.

Apa tidaknya, Malaysian Tigress, No. 22 dunia, sering menjadi pasukan kelima terbaik Asia dalam mana-mana kejohanan di rantau ini dengan kali terakhir meraih tempat ketiga sewaktu edisi pertama acara hoki wanita diperkenalkan di New Delhi, India pada 1982.


Ia juga terbukti sewaktu kejohanan antarabangsa terakhir iaitu Piala Asia 2017 pada November tahun lalu menyaksikan skuad negara meraih tempat kelima di belakang empat gergasi Asia, China (No. 8 dunia), Korea Selatan (No. 9), Jepun (No. 10) dan India (No. 12).

Bagaimanapun, pakar flick skuad Malaysian Tigress, Nuraini Abdul Rashid mengakui ia merupakan satu tugasan berat, namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai oleh mereka berdasarkan prestasi dipamerkan sejak kebelakangan tahun ini.


“Dari segi permainan, sebenarnya kami sudah tidak jauh dengan empat gergasi Asia yang lain dan ia terbukti sewaktu Piala Asia tahun lalu. Tidak mustahil kami boleh meraih sesuatu pada Sukan Asia 2018 nanti.

“Kami tidak boleh takut sebelum berjuang, sebaliknya teruskan berusaha dengan apa yang telah kami lakukan selama ini. Mungkin ada rezeki dan bonus buat kami satu pasukan di Indonesia nanti.

“Kami perlu terus bekerja keras dan melakukan persiapan lebih rapi untuk mencapai pi­ngat gangsa. Sebenarnya, kalau berada dalam kelompok empat terbaik Asia juga sebenarnya sudah suatu pencapaian terbaik buat Malaysia,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, Malaysian Tigress menjadi pasukan kelima terbaik Asia tiga kali berturut-turut bermula 2006 di Doha, Qatar, 2010 (Guangzhou, China) dan 2014 (Incheon, Korea Selatan) selepas tidak layak pada empat edisi dari 1990 hingga 2002.

Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia pada April ini dan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Korea Sela­tan selepas ini dilihat sebagai medan persediaan terbaik buat skuad bim­­bingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ke Sukan Asia 2018 nanti.

No comments

Powered by Blogger.