Kosmo : Skuad hoki wanita sahut cabaran

SKUAD hoki wani­ta kebangsaan ber­depan tugas berat pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia bermula Ogos nanti kerana dipertanggungjawabkan untuk me­ngulangi sejarah dengan menempatkan diri antara tiga pasukan terbaik Asia.

Ia bermakna Malaysian Tigress perlu memenangi sekurang-kurangnya pi­ngat gangsa, sekali gus mengulangi pencapaian 36 tahun lalu sewaktu edisi pertama acara hoki wanita dipertandingkan di New Delhi, India pada 1982.


Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal percaya skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu mampu merealisasikan impian tersebut walaupun atas kertas ia sebenarnya dilihat agak sukar.

“Ia sasaran realistik kerana skuad wanita ketika ini merupakan pasukan kelima terbaik Asia. Oleh sebab itu, kami me­rancang banyak persiapan buat mereka termasuk menyertai siri Jelajah China selepas ini. Kami akan terus memberi sokongan dan bantuan agar sasaran ini tercapai,” katanya.

Subahan berkata demikian kepada pemberi­ta selepas Mesyuarat Ja­wa­tankuasa Kerja de­ngan Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Sasaran itu dilihat sukar kerana Malaysian Tigress sering menjadi pasukan kelima terbaik Asia pada mana-mana kejohanan di rantau ini di belakang China (No. 8 dunia), Korea Selatan (No. 9 dunia), India (No. 10 dunia) dan Jepun (No. 12 dunia).

Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang mustahil buat skuad wanita yang menghuni ranking ke-22 dunia kerana anak-anak buah Dhaarma dilihat sudah mempamerkan ba­nyak peningkatan hingga dianggap ancaman buat empat gergasi Asia tersebut.

Sebagai rekod, Malaysian Tigress sentiasa me­raih tempat kelima dalam tiga edisi Sukan Asia berturut-turut bermula 2006 di Doha, Qatar, di Guangzhou, China (2010) dan di Incheon, Korea Selatan (2014).

Selain itu, Subahan mendedahkan, skuad wa­nita perlu menempatkan diri dalam kelompok enam terbaik pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April depan berbanding tempat ketujuh diraih mereka di Glasgow, Scotland empat tahun lalu.

No comments

Powered by Blogger.