Arena : Pemain muda pikat Van Huizen

Tamat kempen Piala Sultan Azlan Shah 2018, banyak aspek yang perlu segera diperbaiki pengendali negara, Stephen Van Huizen, dalam menjadikan Malaysia benar-benar ampuh untuk menghadapi misi seterusnya dalam Sukan Komanwel Gold Coast yang hanya berbaki beberapa minggu lagi. 

Skuad negara hadir ke Piala Sultan Azlan Shah tanpa beberapa tonggak dan Van Huizen mengambil keputusan untuk menggunakan tenaga muda sebagai pendedahan. 

Ternyata, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, Najmi Farizal Jazlan, Norsyafiq Sumantri dan Nik Aiman Nik Rozemi yang hanya sempat beraksi satu perlawanan, mendapat komen positif daripada jurulatih itu yang percaya mereka sudah bersedia untuk menggalas tugas bersama skuad senior. 

Biarpun aksi Malaysia kurang konsisten sepanjang kejohanan itu sehingga mengundang beberapa keputusan yang menyaksikan mereka dibelasah India 5-1 dan England 7-2, namun persembahan skuad negara masih wujud sisi positif. 

"Secara keseluruhan, saya fikir Syafiq melakukan dengan baik dalam penampilan pertama di pentas antarabangsa. 

"Sudah tentu Syed, Najmi dan Nik adalah masa depan bagi hoki negara. Mereka melakukan dengan baik dalam kejohanan ini," kata Van Huizen. 

The Malaysian Hockey Tigers membuktikan ranking hanyalah pemisah di atas kertas apabila berjaya mencipta kejutan ke atas pasukan yang di ranking atasan dunia seperti Ireland dan Argentina. 

Turut melegakan apabila Malaysia kini dilihat mempunyai pengganti di posisi penjaga gol menerusi Hairi Abd Rahman dan Hafizuddin Othman yang tampil cemerlang sepanjang kejohanan berikutan penjaga gawang utama, S. Kumar, masih dalam penggantungan ekoran kes doping. 

"Saya cuba melakukan yang terbaik dalam kejohanan ini kerana ini penampilan pertama saya. 

"Saya perlu banyak belajar daripada pemain senior, termasuk daripada segi taktikal," kata Norsyafiq. 

Peluang kekerapan beraksi turut membantu Hafizuddin meningkatkan prestasi.

"Saya agak yakin kerana sudah lama tidak bermain dalam perlawanan antarabangsa. 

"Sebelum ini, saya berada di belakang Kumar sebagai pemain simpanan.

"Ini adalah perlawanan antarabangsa pertama tahun ini dan ia menambahkan lagi keyakinan saya," katanya.

No comments

Powered by Blogger.