Kosmo : Razie sedia pimpin Malaysian Tigers

PAKAR flick skuad hoki kebangsaan, Muhammad Razie Abd. Rahim kembali menggalas tugas selaku ketua pasukan pada kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, Perak bermula hari ini hingga 10 Mac depan.

Razie, 31, diberikan kepercayaan oleh ketua jurulatih Malaysian Tigers, Stephen Van Huizen memakai lilitan kapten menggantikan tugas Mohamad Sukri Abdul Mutalib yang tidak terpilih ke PSAS kerana mengalami kecederaan hamstring ketika ini.


Bintang Kelab Hoki Kuala Lumpur itu mengakui sudah bersedia membimbing rakan-rakan sepasukannya membuka kempen dengan langkah kanan menje­lang aksi pertama bertemu Ireland malam ini.

“Berdasarkan ranking, kedudukan Malaysia (No. 12 dunia) adalah paling rendah pada kejohanan ini berbanding Ireland yang merupakan pasukan No. 10 dunia.

“Kami sudah lama tidak bertemu Ireland dengan kali terakhir menentang mereka adalah di Belgium tiga tahun lalu. Oleh sebab itu, ia sukar untuk kami mengenal pasti kekuatan baharu dan kelemahan Ireland.

“Bagaimanapun, kami akan memberikan permainan terbaik dan cuba memperbaiki kelemahan yang ada untuk perlawanan esok (malam ini),” katanya pada sidang akhbar kejohanan di Hotel Impiana, Ipoh, Perak semalam.

Rekod pertembungan terakhir kedua-dua pasukan memihak kepada The Green Army yang mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas skuad negara sewaktu aksi playoff tempat kelima dan keenam Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium pada 2015.

Kekalahan tersebut secara tidak langsung menghancurkan peluang Malaysian Tigers untuk layak ke Sukan Olimpik 2016.

Sementara itu, pengurus pa­sukan Ireland, Niall O’Carroll menegaskan, anak-anak buah­nya tidak akan memberikan laluan mudah kepada skuad negara kerana mereka hadir untuk memenangi kejohanan ini, bukannya sekadar datang ‘makan angin’.

“Kedudukan ranking belum menjamin apa-apa kemenangan tetapi kami akan mencuba sedaya upaya untuk menewaskan Malaysia. Kami mahu bermula dengan baik dan kalau boleh memenangi kejohanan ini,” jelasnya.

Selepas aksi bertemu Ireland, pasukan bimbingan Van Huizen itu akan meneruskan perlawanan kedua menentang naib juara yang juga gergasi No. 1 dunia, Australia esok.

No comments

Powered by Blogger.