TNBLHRM 2018: MSSPP-PSHA juara Divisyen Dua

MSSPP-PSHA muncul selaku juara divisyen dua, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia 2018 selepas cemerlang menewaskan MBMB Warriors 3-0 pada penentuan shoot-out apabila perlawanan 60 minit berkesudahan tanpa sebarang jaringan pada aksi akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Kecemerlangan Putera Ahmad Syahmie Ahmad Aswad, Muhammad Haikal Hilman Mohamad Hanfiah dan Muhamad Faris Harizan menyempurnakan shoot-out menjulang MSSPP-PSHA selaku juara.

Aksi final menampilkan saingan sengit selain corak permainan laju dan MBMB Warriors mempunyai beberapa peluang keemasan mencetak gol awal, namun buntu untuk melakukan penyudahan terbaik.

Memasuki suku kedua, MSSPP-PSHA hampir membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Solehuddin Yuzaidi yang berjaya melepasi pertahanan MBMB Warriors namun percubaan mencari sudut kanan pintu gol lawan terkena tiang gol dan terselamat gawang MBMB Warriors.

Beberapa saat sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan, MBMB Warriors hampir memecah kebuntuan menerusi Muhammad Afif Azfar Salim, namun percubaannya melewati palang gol lawan.

MSSPP-PSHA lebih banyak memasuki kawasan gol MBMB Warriors untuk melakukan percubaan, namun masih gagal menemui penyudahan yang sempurna.

Dalam pada itu, penentuan kedudukan tempat ketiga keempat KL Vipers MSSM KL bangkit memastikan kedudukan tempat ketiga milik mereka selepas cemerlang mengatasi Anderson PHA.

Anderson PHA mengejutkan KL Vipers MSSM KL menerusi jaringan awal Iqbalnafis Rostam minit ketiga selepas bijak untuk menggunakan ruang yang dimiliki.

Sedang perlawanan berlangsung sengit keadaan cuaca yang buruk menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan seketika pada minit ke-42.

Perlawanan kembali disambung selepas 30 minit terhenti dan hujan yang turun membawa kejayaan pada KL Vipers MSSM KL apabila minit ke-49 menerusi gerakan padang selain bijak menggunakan situasi kelam kabut di hadapan pintu gol lawan, Mohammad Shafiq Abdullah menjaringkan gol penyamaan buat KL Vipers MSSM KL.

Seakan perlawanan dilihat akan berakhir dengan keputusan seri, Shafiq Abdullah muncul wira buat KL Vipers MSSM KL apabila menjaringkan gol kemenangan sekali lagi menerusi gerakan padang beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan dan keputusan 2-1 kekal memihak KL Vipers MSSM KL.

KEPUTUSAN

KL Vipers MSSM KL 2 - 1 Anderson PHA

MSSPP-PSHA 0 - 0 MBMB Warriors

(MSSPP-PSHA juara menerusi shoot-out, 3-0)

ANUGERAH

Juara:

MSSPP-PSHA

Naib Juara:

MBMB Warriors

Tempat ketiga:

KL Vipers MSSM KL

No comments

Powered by Blogger.