Belum tiba masanya - Nor Saiful

Kesungguhan Muhammad Raimi Abdul Latif beraksi di Liga Melville Toyota Australia belum cukup untuk meyakinkan Nor Saiful Zaini bagi menyerap penjaga gol itu ke dalam skuad hoki remaja kebangsaan yang akan berdepan dua kejohanan penting tahun ini.

Menurut Nor Saiful, biarpun banyak mendengar berita positif mengenai usaha penjaga gol Pulau Pinang itu berkelana ke Australia dalam meningkatkan kualiti permainan, tetapi ia bukan jaminan untuknya terpilih ke dalam barisan 30 pelatih yang akan melaporkan diri untuk latihan fasa pertama pada 4 Jun ini.

"Ini adalah program untuk dua tahun sehingga Piala Dunia Remaja 2020, seandainya tidak terpilih kali ini ia bukan bermakna pintu sudah tertutup buatnya (Raimi).

"Selepas dia pulang daripada Australia nanti sekiranya menunjukkan persembahan baik, kita (jurulatih) tiada masalah untuk mempertimbangkannya kerana kita ada jurulatih penjaga gol (Mohd Hanafi Hassan) yang akan menilai prestasi semua penjaga gol.

"Cuma mustahil untuk kita memanggilnya kali ini kerana tidak pernah melihat aksinya sebelum ini malah senarai nama 30 pemain saya sudah serahkan kepada Konfederasi Hoki Malaysia," kata Nor Saiful.


Raimi mencipta sejarah tersendiri apabila mengikat perjanjian selama tiga bulan untuk mewakili Kelab Hoki YMCA Coastal City (YMCC) yang beraksi dalam liga hoki barat Australia dan setakat ini sudah membuat satu kemunculan ketika pasukannya tumbang 3-2 kepada Old Aquinians, minggu lalu.

Kekalahan kedua berturut-turut itu menyaksikan YMCC yang diperkuatkan beberapa bekas pemain kebangsaan Australia jatuh satu anak tangga ke kedudukan kelima dengan 14 mata dan selepas ini dijadualkan bertemu Fremantle, Ahad ini.

Sekalipun melepaskan tiga gol dalam penampilan sulungnya, tetapi peluang keemasan beraksi di Liga Melville diyakini mampu meningkatkan kualiti permainan Raimi, 18,  yang sebelum ini turut berjaya membantu pasukan Majlis Sukan sekolah Pulau Pinang menjuarai saingan Divisyen 2 Liga Hoki Malaysia 2018.

Malah, selepas ini sudah tentu lebih banyak pasukan kelab tempatan yang akan mula berkira-kira mendapatkan khidmat penjaga gol itu yang hampir pasti tidak terpilih menggalas cabaran skuad Projek 2020 ke Kejohanan Enam Negara di Antwerp, Belgium, Julai ini dan Piala Sultan Johor, Oktober depan.

No comments

Powered by Blogger.