Empat pemain senior digugurkan

KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah membuat kejutan apabila menggugurkan empat tonggak senior dalam barisan 18 terbaik menghadapi Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Bandar Donghae, Korea Selatan dari 13 hingga 20 Mei ini.

Empat tonggak senior itu ialah tiga pemain te­ngah, Siti Rahmah Othman, Norbaini Hashim dan Fazilla Sylvester Silin serta seorang penyerang, Norazlin Sumantri.

Dharma memilih untuk membawa masuk dua bintang muda berusia 17 tahun, Nur Maizatulhanim Syafi Sheik Fuad dan Nor Asfarina Isahyifika Isahhiddun serta dua pemain yang kembali tersenarai dalam skuad utama, Nurul Syafiqa Mat Isa dan Nur Zafirah Aziz.

Nur Maizatulhanim dan Asfarina terpilih berdasarkan kecemerla­ngan dipamerkan sewaktu membantu skuad bawah 18 tahun (B-18) me­raih tempat ketiga pada Kelaya­kan Asia Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2018 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.


“Tiada istilah saya menggugurkan pemain tetapi lebih kepada memberi peluang kepada pemain-pemain muda (Maizatulhanim dan Asfarina) untuk membuktikan keupayaan agar dapat mengembangkan bakat mereka di pentas tertinggi seperti ACT.

“Keempat-empat pemain senior yang tidak terpilih masih berpeluang untuk mewakili negara pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia nanti. Cuma saya memberikan waktu untuk memikirkan yang terbaik dalam karier mereka.

“Kejohanan B-18 de­ngan peringkat se­nior mempunyai banyak perbezaan tetapi saya merasakan mereka yang terpilih layak untuk diberikan peluang agar dapat mewujudkan persai­ngan sihat,” kata Dharma kepada Kosmo! semalam.

Malaysian Tigress yang menghuni ranking ke-22 dunia, akan bermain format liga sepusingan menentang empat gergasi Asia iaitu China (No. 8 dunia), Korea Selatan (No. 9 dunia), India (No. 10 dunia) dan Jepun (No. 12 dunia).

Barisan pemain negara yang akan berlepas ke Korea Selatan pada 8 Mei ini dijadualkan bertemu tuan rumah pada aksi pembukaan 13 Mei di Stadium Sunrise diikuti China (14 Mei), Jepun (16 Mei) dan India (17 Mei).

Pada edisi dua tahun lalu di Singapura, skuad negara meraih tempat kelima, namun berjaya mencipta kejutan terbesar apabila menewaskan Jepun 2-0 sekali gus me­rupakan kemenangan pertama Malaysia sepanjang pertemuan dengan lawan tersebut.

No comments

Powered by Blogger.