Keyakinan Raimi makin meningkat

Faktor tidak bolos dalam aksi terakhir nyata meningkatkan keyakinan penjaga gol muda negara, Raimi Abdul Latiff untuk terus 'kebal' menghadapi Liga Hoki Melville Toyota yang mana saingannya sudah tiba ke pertengahan musim.

Sejak tiba di barat Australia dua minggu lalu, Raimi sudah beraksi dalam tiga perlawanan dan yang terbaru ketika pasukannya Kelab Hoki YMCA Coastal City (YMCC) tumbang 1-2 di tangan Melville dalam aksi kesepuluh liga.

Biarpun pasukan di tangga keenam liga itu melepaskan dua gol dalam aksi di Stadium Realty, Sabtu lalu, namun kedua-dua jaringan itu hadir sebelum Raimi, 18, dibawa masuk bagi menggantikan Tyrel Lovell.


Ia sekali gus membuktikan pemain Pulau Pinang itu kini makin menyesuaikan diri di sana selepas dibolosi tiga gol dalam penampilan sulung yang berakhir dengan kekalahan 3-2 kepada Old Aquinians sebelum digilirkan ketika YMCC mencatat kemenangan 3-1 ke atas Fremantle.

"Untuk perlawanan Sabtu lalu saya dibawa masuk di pertengahan suku ketiga dengan Lovell yang melepaskan dua gol awal Melville itu. Setakat ini saya berpuas hati dengan prestasi sendiri," kata Raimi.

"Banyak teknik baharu yang saya pelajari dari aspek menutup sudut serta merebahkan badan, dan ia (tidak dibolosi) sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan saya."

Raimi yang berharap terpilih menyertai skuad Projek 2020, turut menegaskan yang dia kini sudah boleh mengawal perasaan gugup sekiranya diturunkan.

"Di sini rakan sepasukan saya banyak memberi sokongan dan langsung tidak marah sekiranya saya melakukan kesilapan, malah jurulatih juga banyak membantu dengan memberitahu apa perlu dilakukan dan diperbaiki."

Dengan aksi kesebelas menentang Westside Wolves hanya akan berlangsung pada 10 Jun depan, beberapa program sudah diatur buat Raimi antaranya menjalani latihan bersama bekas tenaga jurulatih Australia, Kevin Knapp pada setiap Selasa.

No comments

Powered by Blogger.