MHC serius anjur Piala Dunia 2022

PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal mendedahkan, pihaknya benar-benar serius mahu memastikan Malaysia menjadi tuan rumah menganjurkan pentas Piala Dunia 2022 buat pasukan lelaki dan wanita.
Pujian harus diberikan kepada MHC kerana berterusan membantu skuad hoki lelaki dan wani­ta negara selain mengembalikan semula pentas berprestij dunia itu ke Kuala Lumpur selepas kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Piala Dunia 2002.
Bagaimanapun, ia merupakan perancangan peringkat awal, namun Subahan menjelaskan, pihaknya sudah bersedia mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dalam masa terdekat.
Subahan yakin ia mampu terlaksana berdasarkan kepercayaan FIH terhadap MHC yang memberi peluang kepada badan induk itu untuk menganjurkan Final Siri Hoki Dunia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jun tahun depan.
Kejohanan format baharu (sebelum ini menggunakan nama Liga Hoki Dunia) itu akan disertai skuad hoki lelaki negara dan ia merupakan pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.
“Wakil FIH turun ke sini dan mengemukakan tawaran kepada kami untuk menjadi tuan rumah Final Siri Hoki Dunia. Ini merupakan salah satu langkah daripada MHC untuk membantu pasukan kebangsaan layak ke Sukan Olimpik.
“Sudah lama kita tidak bermain pada Sukan Olimpik sejak kali terakhir pada 2000. Semua sedia maklum saya tetap dengan pendirian akan melepaskan jawatan jika gagal layak ke Sukan Olimpik.

“Jika gagal meraih pingat emas Sukan Asia 2018 (slot automatik juara Asia), sekurang-kurangnya skuad lelaki masih ada kejohanan ini (Final Siri Dunia),” kata Subahan pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasio­nal, Bukit Jalil semalam.
Subahan berkata demikian selepas sidang akhbar pengumuman nama 20 pemain skuad lelaki menghadapi enam aksi persahabatan bertemu Argentina dalam Jelajah Argentina dengan empat di Mar Del Plata dan dua di Buenos Aires dari 21 Mei ini hingga 4 Jun depan.
Ketua jurulatih, Stephen Van Huizen menggugurkan empat nama daripada skuad Sukan Komanwel 2018 iaitu Mohd. Fitri Saari, Muhammad Firhan Ashari, Muhamad Ramadan Rosli dan Muhammad Hafizuddin Othman.
Pengganti empat pemain itu ialah S. Kumar, Faiz Helmi Jali, Muhammad Marhan Mohd. Jalil dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi serta tambahan dua nama yang dibawa iaitu Muhammad Haziq Samsul serta Muhammad Najib Abu Hassan.
Jelajah Argentina dan selepas ini Jelajah Australia di Perth merupakan persediaan Malaysian Tigersmemburu pingat emas pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia, Ogos depan. - KOSMO

No comments

Powered by Blogger.