Raimi mula latihan bersama kelab Australia

Penjaga gol hoki muda Pulau Pinang, Muhammad Raimi Abdul Latif berharap keputusannya berkelana ke Australia mampu membuka mata pengendali Nor Saiful Zaini Nasruddin sebelum menamakan barisan 30 pemain skuad Projek 2020, selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Pemain berusia 18 tahun itu selamat tiba di Perth, Australia kelmarin dan sudah memulakan latihan sulung bersama pasukan baharunya, Kelab Hoki YMCA Coastal City (YMCC), semalam.


"Perasaan saya amat teruja ketika ini, nak kata cuak (takut) tidaklah sangat kerana pihak pengurusan kelab memberi layanan yang sangat baik kepada saya sejak tiba.

"Apapun saya mahu memanfaatkan peluang untuk melihat bagaimana mereka (pasukan di Australia) menjalani latihan dan harapan saya sudah tentu untuk meningkatkan kualiti permainan untuk membuka peluang terpilih ke dalam Skuad Projek 2020," katanya.

Raimi ditawarkan kontrak selama tiga bulan bersama kelab divisyen utama Liga Barat Australia itu bagi menghadapi Liga Melville Toyota yang sudah bermula sejak Mac lalu dan berakhir pada September depan.

Anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang itu bakal mengisi kekosongan selaku penjaga gol kedua YMCC dengan peranan utama kini menjadi milik Tyler Lovell iaitu penjaga gawang nombor dua Australia.

Bagaimanapun, Raimi enggan menjadikannya sebagai alasan untuk gagal 'mencuri' sebanyak mungkin ilmu apatah lagi menganggap ia sebagai peluang keemasan untuk beraksi di sisi Lovell.

"Saya sudah memulakan latihan pertama, dan memang saya bangga serta teruja dapat menjalani latihan sekali dengannya (Lovell), pada masa sama saya juga cuba mempelajari ilmu menjaga gawang," katanya.

Mengulas lanjut, Raimi berkata dia tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri kerana menetap di rumah bekas gurunya yang tinggal di Perth.

Sebagai rekod, YMCC yang kini menghuni kedudukan ketiga liga tumpas 1-2 kepada Wasps dalam aksi terakhir dan seterusnya akan turun menentang pasukan tangga keenam Old Aquinians, Ahad ini.

No comments

Powered by Blogger.