Saya akan ‘garang’ di Korea

PENYERANG skuad hoki wanita negara, Nur Maziatulhanim Syafi Sheik Fuad mahu membalas kepercayaan ketua jurulatih, Muhammad Dharma Raj Abdullah menyenaraikan namanya bagi menghadapi kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 dengan meledak satu gol pada kejohanan itu.

Syafi, 17, tersenarai dalam barisan 18 terbaik Malaysian Tigress yang berlepas ke Bandar Donghae, Korea Selatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam bagi menghadapi ACT dari 13 hingga 20 Mei ini.

Dharma memilih pemain dari Pulau Pinang itu berdasarkan prestasi cemerlangnya sewaktu membantu skuad bawah 18 tahun (B-18) meraih tempat ketiga Kelayakan Asia Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2018 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

“Saya tidak sangka nama tersenarai dalam skuad menghadapi ACT kerana fokus saya sebelum ini tertumpu kepada kejohanan di Bangkok. Sekarang saya perlu buktikan kepada jurulatih bahawa saya memang layak berada dalam senarai 18.


“Saya mahu jaringkan gol dan buktikan kepada jurulatih bahawa saya ‘garang’ apabila di depan gawang gol pihak lawan. Malah, keyakinan saya untuk kejohanan ini juga tinggi,” kata­nya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Antara faktor lain pemilihan Syafi adalah disebabkan dia pernah terpilih dalam skuad Malaysian Tigress untuk menyer­tai saingan Piala Asia 2017 di Kakamigahara, Jepun, Oktober tahun lalu.

Sebagai rekod, gol tunggal Syafi berjaya membantu ­Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pulau Pinang-Persatuan Ho­ki Pulau Pinang (MSSPP) menjuarai Liga Hoki Remaja Wanita Malaysia 2018 de­ngan menewaskan Wipers-Sekolah Sukan Kuala Lumpur (KLSS) 1-0 Ahad lalu.

Justeru, Syafi berharap dapat meneruskan momentum cemerlang tersebut dengan men­jaringkan gol buat Malaysian Tigress meskipun sedar ia bukan satu tugas mudah kerana bakal berdepan empat gergasi Asia, China, India, Korea Selatan dan Jepun pada ACT nanti.

“Saya pernah hampir menjaringkan gol ke atas India pada Piala Asia 2017 tetapi percubaan saya terkena tiang gol.

“Jadi, kali ini saya akan menggunakan setiap pengalaman yang ada untuk tidak melepaskan peluang di depan gawang,” tegasnya.

No comments

Powered by Blogger.