Amarina belum fikir bersara

Kapten skuad hoki wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani masih belum memikirkan soal persaraan meskipun dua rakan seangkatannya, Siti Rahmah Othman serta Nurbaini Hashim sudah pun mengucapkan selamat tinggal kepada Malaysian Tigress. 

Menurut pemain yang lebih mesra disapa sebagai Amarina itu, dia masih kekal fokus ingin membantu skuad kebangsaan selagi khidmatnya diperlukan. 


"Saya masih ada impian yang ingin dicapai terutama sekali untuk beraksi di Piala Dunia. 

"Difahamkan MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) ada membuat bidaan untuk kempen kelayakan Piala Dunia pada 2021. Mendengar perkara itu semakin meningkatkan lagi semangat saya untuk terus beraksi bersama skuad negara," kata pemain berusia 31 tahun itu. 

Jelas Amarina, faktor usia bukanlah penghalang utama untuknya mempamerkan aksi terbaik buat skuad negara. 

"Jika tidak berdepan kecederaan serius, saya rasa masih mampu beraksi untuk skuad negara dalam tempoh lima hingga enam tahun lagi. 

"Sekarang fokus saya membantu skuad negara pada pusingan pertama Siri Hoki Dunia di Singapura pada pertengahan bulan ini," katanya. 

Siri Hoki Dunia yang bermula 23 Jun sehingga 1 Julai ini adalah sebahagian pusingan kelayakan untuk Sukan Olimpik 2020. 

Amarina mula mewakili skuad negara pada 2005 dan sudah menyertai semua kejohanan utama kecuali Sukan Olimpik serta Piala Dunia.

No comments

Powered by Blogger.