Jangan main-main

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) perlu serius dengan melihat daripada pelbagai sudut selepas membuat keputusan untuk membuat bidaan bagi menganjurkan Piala Dunia 2022.

Bekas pemain negara, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi menegaskan, ia perlu kerana beliau tidak mahu Malaysia dilihat sekadar melepaskan batuk di tangga saja dalam menganjurkan kejohanan berprestij itu yang kali terakhir dianjurkan di sini pada 2002.

"Apabila kita sudah membuat keputusan untuk membuat bidaan, maka banyak lagi perkara lain perlu diambil kira.

"Antaranya soal strategi pemasaran serta bagaimana hendak menarik minat ramai untuk terbabit menjayakan kejohanan ini.

"Soal penajaan saya rasa tidak ada masalah, tetapi kalau ada penajaan pun tetapi strategi pemasaran tak betul, susah juga," katanya.

Rodzhanizam memberi contoh bagaimana kelemahan pemasaran dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) sehingga menyaksikan penyusutan pasukan dari tahun ke tahun.

"Tidak dinafikan LHM mempunyai kualiti permainan yang tinggi tetapi tak guna juga jika tiada strategi pemasaran yang betul.

"Sehinggakan beberapa pasukan sudah menyatakan mahu menarik diri," katanya.

Justeru, Rodzhanizam berharap perancangan rapi perlu bermula daripada sekarang kerana empat tahun bukanlah satu tempoh yang singkat.

"Kita memang sudah ada pasukan yang berkualiti selain kemudahan yang baik. Tinggal lagi sekarang ini ialah kita perlu mempunyai strategi yang betul supaya penganjuran Piala Dunia ini mencapai kejayaan," katanya.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal menerusi laporan NSTP minggu lalu berkata, pihaknya akan mengemukakan bidaan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menganjurkan Piala Dunia 2022.

Permohonan itu akan dihantar serentak minggu ini bersama-sama bidaan untuk menganjurkan Final Siri Hoki Dunia Lelaki 2019 serta Final Siri Hoki Dunia Wanita 2021. 

No comments

Powered by Blogger.