Malaysia akhiri badi kekalahan

MALAYSIA akhirnya me­namatkan badi kekalahan apabila menum­paskan juara Olimpik 2016, Argentina 2-1 dalam perlawanan persahabatan terakhir di Buenos Aires, Argentina semalam.

Skuad hoki lelaki kebangsaan yang sebelum ini tidak pernah menang dalam lima perlawanan dengan pasukan tuan rumah mendahului perlawanan menerusi jaringan padang oleh Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-18 sebelum digandakan oleh penyerang Muhammad Haziq Samsul juga menerusi jaringan padang, empat minit kemudian, menurut laman Facebook Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).


Argentina, dikenali sebagai Les Leones (The Lions), berjaya merapatkan jurang menerusi Pedro Ibarra yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-41.

Bercakap selepas kemena­ngan itu, ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen jelas gembira dengan kemenangan sulung itu selepas gagal mencatatkan kemenangan dalam lima perlawanan terdahulu.

Malaysia kalah 0-1, 1-6, 2-7 dan 1-2 dalam empat perlawanan di Mar Del Plata sebelum seri 1-1 dalam perlawanan ujian kelima di Buenos Aires.

“Mereka mencuba pelbagai taktik dan memaksa pemain untuk bekerja keras bagi kemena­ngan ini. Keadaan fizikal pemain kita jauh lebih cergas selepas Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan tempo permainan amat tinggi,” kata Van Stephen.

“Semua kerja keras selama tiga minggu lepas telah membantu pemain untuk bertahan sehingga ke akhir,” katanya.

Perlawanan ujian itu merupakan sebahagian daripada usaha Stephen untuk membentuk skuad mantap sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 pada Ogos dengan pasukan negara menaruh harapan untuk memenangi pingat emas dan secara automatik menempah tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. 
– Bernama

No comments

Powered by Blogger.