Fitri mahu rasa pengalaman baharu

BINTANG skuad hoki negara, Mohd. Fitri Saari berpeluang merasai pengalaman mewakili kelab di luar negara sekiranya dibenarkan menyertai pasukan Al Seeb dalam saingan Liga Kebangsaan Oman.

Fitri, 24, memilih untuk menyertai Al Seeb kerana tawaran lebih menarik berbanding Kelab Hoki Sohar (HC) yang diwakili oleh abangnya, Faizal Saari serta dua lagi pemain dari Malaysia, Muhammad Hafiz Zainol dan G. Kavin Kartik.


Bagaimanapun, arkitek bahagian tengah Malaysian Tigers itu terlebih dahulu perlu mendapatkan ‘lampu hijau’ daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum boleh berangkat ke Oman.

“Saya rasa tiada masalah untuk MHC membenarkan saya bermain di sana (Oman). Cuma, saya perlu tunggu surat pelepasan daripada MHC terlebih dahulu.

“Kalau boleh memang nak pergi bermain di sana (Oman) kerana saya tidak pernah merasai pengalaman menyertai kelab luar negara. Selama ini cuma bermain dengan pasukan kebangsaan dan kelab tempatan.

“Ada tawaran-tawaran sebelum ini tetapi saya fokus untuk tamatkan pelajaran dahulu. Sekarang sudah habis, jadi saya teringin untuk merasai pengalaman baharu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Difahamkan, selain bintang Pasukan Hoki Terengganu itu, turut mendapat tawaran ke Oman ialah Muhammad Haziq Samsul dan Muhammad Shahril Saabah.

Ketua jurulatih Malaysian Tigers, Stephen Van Huizen pernah menjelaskan, beliau tiada halangan buat mana-mana pemain untuk beraksi di luar negara biarpun latihan skuad negara sudah bermula hari ini.

Ini kerana mereka yang berpengalaman lama bermain di pentas antarabangsa akan melakukan rutin jadual yang sama seperti dilakukan para pemain di sini, sepanjang tempoh ber­aksi di luar negara.

Bagaimanapun, pemain-pemain kebangsaan difahamkan dikehendaki pulang semula ke Malaysia sebelum 24 Disember depan..

KOSMO!

Muhammad Zuhaily Badlishah

No comments

Powered by Blogger.