BH : THT tak bimbang import lambat datang

KUALA LUMPUR: Pasukan Hoki Terengganu (THT) optimis mampu mempertahankan Piala Tan Sri P Alagendra biarpun empat pemain import dari Argentina termasuk pakar pukulan sudut penalti, Gonzalo Peillat hanya tiba secara berperingkat seawal 3 Januari depan.

Jurulatihnya, Sarjit Singh berkata, beliau tidak bimbang dengan keserasian di antara pemain tempatan dan import meskipun pemain terbabit hanya hadir pada hari pertama kejohanan itu disingkap tirainya.

"Saya memang tidak risau mengenai masalah keserasian antara pemain kerana sudah menjadi kebiasaan pemain tiba lambat sehari atau dua hari. Ini adalah perkara biasa dalam kejohanan di seluruh dunia dan bukannya hanya di Malaysia.

"Mereka tidak akan datang serentak, sebaliknya berperingkat dan saya percaya itu bukan masalah. Lagipun, pemain tempatan mampu menggalas tugas sebelum kedatangan mereka," katanya dalam sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Piala Tan Sri P Alagendra akan berlangsung dari 3 hingga 7 Januari depan dengan THT mendapat bye pada pusingan pertama dan dijadualkan tidak berdepan masalah menewaskan UiTM pada pusingan kedua.

Sementara itu, penyerang THT, Faizal Saari, teruja dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan Peillat yang menyifatkan kehadiran pakar pukulan sudut penalti itu bukanlah satu tekanan dan saingan kepadanya.

Sebaliknya, Faizal berharap kedatangan Peillat mampu membantunya meningkatkan mutu permainan terutama dalam aspek pukulan sudut penalti.

"Saya rasa inilah peluang terbaik belajar daripada Peillat yang menjadi penjaring terbanyak dan pemenang pingat emas di Sukan Olimpik 2016.

"Sama ada saya ditugaskan mengambil pukulan sudut penalti atau tidak, ia bukan masalah dan bergantung kepada strategi pasukan. Apa yang penting saya mahu gunakan peluang ini untuk menimba ilmu daripadanya," katanya.

No comments

Powered by Blogger.