HMETRO : Atira, Dayang dan Ellya diserap skuad senior

NOR ATIRA Mohammad Ismail, Dayang Nuramirah Abang Mahadini dan Ellya Amanina Ellias mungkin sudah diserap menyertai skuad hoki wanita negara apabila kelibat ketiga-tiga pemain muda itu dilihat berada di Majlis Sukan Negara (MSN), pagi tadi.

Walaupun Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) belum mengumumkan senarai 26 pelatih kem negara, tetapi kehadiran ketiga-tiga tonggak Selangor itu pada sesi latihan pagi tadi seperti mengesahkan mereka antara muka baharu yang disenaraikan kali ini.

Malah, Atira, 16, yang menyumbang satu gol ketika Selangor menumpaskan Pahang 5-2 pada aksi final Piala Razak, bulan lalu mengakui agak kekok pada hari pertama latihan negara.

“Memang agak gementar apabila diberi peluang sebegini pada usia yang muda untuk menjalani latihan di sisi pemain berpengalaman seperti Siti Noor Amarina (Ruhani) dan Juliani (Din).

“Tetapi, saya tetap menikmati latihan pagi ini dengan pemain senior banyak membantu berkongsi ilmu dari segi penggunaan alatan gimnasium,” katanya sebentar tadi.

Selain tiga pemain Selangor itu, pengendali Malaysian Tigress, Dhaarma Raj Abdullah juga dilihat memanggil pemain muda Sabah berusia 16 tahun, Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun buat kali pertama.

Namun, lima lagi slot terus menjadi tanda tanya selepas hanya 21 pelatih melaporkan diri ke kem latihan negara berbanding 26 pemain yang disenaraikan.

Difahamkan, lima pemain yang gagal melaporkan diri pagi tadi gara-gara mengalami masalah yang tidak dielakkan, selain ada yang menjalani peperiksaan pengajian hari ini.

Mereka adalah penyerang muda Pahang, Siti Zulaika Hussin, Nuramirah Syakirah ZUlkifli (Kedah); Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi dan Maizatulhanim Syafi Fuad (Pulau Pinang) dan penjaga gol Perak, Ain Nur Nasiha Yahaya.

Menariknya, lapan pemain ini berusia antara 16 hingga 18 tahun sekali gus menggambarkan Dhaarma Raj mahu menampilkan ramai pemain muda dengan skuad kali ini membariskan 46 peratus pemain berusia di bawah 23 tahun.

Bagaimanapun, dalam membentuk skuad yang mantap bagi menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2018, kudrat empat pemain yang berusia lebih daripada 30 tahun iaitu Siti Rahmah Othman, Fazilla Sylvester Silin, Siti Shahida Saad dan Amarina terus ditagih Dhaarma.

No comments

Powered by Blogger.