Kosmo : Gergasi dunia ujian Malaysian Tigers

SAINGAN Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2018 di Ipoh, Perak dari 3 hingga 11 Mac depan merupakan pentas terbaik me­nguji keupayaan skuad hoki lelaki negara sebelum menghadapi Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia sebulan kemudian.

Enam pasukan yang akan bersaing pada kejohanan tersebut termasuk Malaysian Tigers, Australia, pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Argentina (No. 2 dunia), jaguh Asia, India (No. 6 dunia), England (No. 7 dunia) dan Republik Ireland (No. 10 dunia).


Pengarah Teknikal MHC, Terry Walsh mengakui saingan PSAS 2018 mampu memperlihatkan keupayaan skuad negara memandangkan pasukan bimbingan Stephen Van Huizen itu merupakan pasukan ranking paling rendah kejohanan, No. 12 dunia.

“MHC melihat kejohanan ini sebagai satu langkah persediaan terbaik buat skuad negara menghadapi Sukan Komanwel kerana PSAS 2018 menampilkan empat negara dari luar benua Asia.

“Saya percaya para pemain bakal menghadapi perlawanan-perlawanan yang lebih kompetitif, sekali gus mampu me­ningkatkan tahap permainan mereka,” katanya menerusi kenyataan rasmi MHC semalam.

Sebagai rekod, Malaysian Tigers tidak pernah bergelar juara kejohanan tahunan tersebut sejak ia mula diperkenalkan di Kuala Lumpur pada 1983.


Pencapaian terbaik skuad negara pada kejohanan tersebut ialah naib juara sebanyak lima kali pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Tahun ini menyaksikan Malaysian Tigers sekadar tempat kelima daripada enam pasukan dengan Britain muncul juara selepas menang 4-3 ke atas Austaralia.

Saingan PSAS dan Sukan Komanwel 2018 dilihat sebagai antara langkah persediaan terbaik buat skuad negara menghadapi ujian sebenar iaitu Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada Ogos depan.

Ini kerana Malaysian Tigers perlu memenangi pingat emas Sukan Asia 2018 untuk meraih tiket secara automatik ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, sekali gus menamatkan pe­nantian sejak kali terakhir layak pada 2000.

No comments

Powered by Blogger.