Kosmo : Kumar digugur daripada Program Podium 2018

KEGAGALAN penjaga gol skuad hoki lelaki negara, S. Kumar melepasi ujian doping pada Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu membawa padah apabila namanya digugurkan daripada Program Podium untuk tahun 2018.

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi menegaskan, mana-mana atlet yang positif ujian doping akan digugurkan serta-merta daripada program berprestasi tinggi negara itu.


“Kami sangat jelas pada Program Podium, tiada proses rundingan jika (atlet) positif doping. MHC (Konfederasi Hoki Malaysia) juga sedia maklum me­ngenai perkara ini.

“Jadi, dia (Kumar) akan dikeluarkan daripada Program Podium. MHC boleh senaraikan 24 nama, sudah tentu mereka akan menggantikan dia dengan penjaga gol simpanan yang lain,” katanya ketika ditemui di Menara 1 Dutamas, Kuala Lumpur semalam.


Kumar, 38, yang sudah ber­aksi hampir 19 tahun bersama skuad negara di pentas antarabangsa, buat kali pertama disahkan positif doping bahan terlarang jenis sibutramine oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) pada 12 Disember lalu.

Bekas penjaga gol terbaik Asia dari Tampin, Negeri Sembilan itu sudah menjalani ujian do­ping lebih daripada 10 kali sejak kali pertama mewakili Malaysian Tigers di pentas antarabangsa sejak 1999, namun kesemuanya negatif.

Bagaimanapun, Abdul Azim memberi jaminan bahawa nama Kumar boleh disenaraikan semula dalam Program Podium pada penilaian seterusnya enam bulan kemudian, namun bergantung pada bentuk hukuman yang bakal diterimanya selepas ini.

“Kumar positif sampel A dan dia boleh menguji sampel B tetapi saya difahamkan dia tidak mahu melakukannya. Jadi, ia bermakna Kumar sudah positif doping dan dia terpaksa keluar (daripada Program Podium).

“Dia masih boleh disenaraikan semula selepas tempoh enam bulan. Dia tidak boleh diserap kembali seandainya rayuan gagal dan dia berdepan tempoh hukuman maksimum dua tahun.

“Kami akan menilai semula (nama Kumar dalam Program Podium) kalau hukumannya diringankan sekadar amaran keras,” jelasnya.

MHC telah memohon kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk me­ngadakan sesi perbicaraan secepat mungkin agar Kumar dapat menjelaskan segala-galanya kepada badan induk sukan hoki dunia itu, sekali gus kembali menyarung jersi negara.

No comments

Powered by Blogger.