KOSMO : Syamim pamer bisa di Oman

BEKAS penyerang skuad hoki kebangsaan, Mohd. Syamim Mohd. Yusof dilihat berada pada prestasi terbaiknya apabila mengungguli carta penjaring terbanyak Liga Kebangsaan Oman dengan keseluruhan sembilan gol setakat ini.

Kecemerlangan Syamim, 25, membolehkan pasukannya, Kelab Hoki Al Seeb menempah tiket ke pentas final Piala Hoki Sultan Qaboos menentang Kelab Hoki Al-Nasr pada 20 Disember ini.


Selain Syamim, turut mewa­kili Al Seeb ialah perancang Malaysian Tigers, Mohd. Fitri Saari, manakala Al-Nasr dibarisi dua tonggak skuad kebangsaan, Muhammad Razie Abd. Rahim dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd. Jalil.

Berdasarkan prestasi semasa, Syamim percaya dia sudah bersedia untuk membantu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mempertahankan kejuaraan Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) 2018 bermula 3 Januari hingga 10 Februari tahun depan.

“Buat masa sekarang saya sudah menjaringkan sembilan gol diikuti Razie, Jidin (Tengku Ahmad Tajuddin) dan Fitri masing-masing dengan lima gol. Boleh dikatakan semua pemain Malaysia yang bermain di Oman berjaya menjaringkan gol.

“Saya rasa sudah bersedia untuk menghadapi saingan MHL 2018. Ramai pemain import yang bagus-bagus akan bermain nanti, jadi saya tiada cara lain untuk bersaing mendapatkan tempat sendiri (dalam KLHC) apabila pulang nanti.

“Oleh sebab itu, saya pilih untuk bermain di Oman walaupun liga di sini kurang berprestij berbanding liga tempatan. Saya mahu pastikan tahap kecergasan dan prestasi berada dalam keadaan terbaik sebelum MHL bermula,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Syamim yang merupakan antara watak utama kejayaan Skuad Projek 2013 meraih tempat keempat Piala Dunia Remaja 2013 mengakui, saingan liga di Oman banyak mengajarnya ilmu-ilmu baharu dalam perkembangan kariernya selepas ini.

“Pemain-pemain Oman mempunyai semangat juang yang tinggi. Di sini saya dapat belajar banyak perkara baharu terutama dari segi bertahan kerana pertahanan bermula daripada penyerang,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Syamim percaya jika dia mampu mengekalkan momentum di Oman, dia berpeluang untuk muncul sebagai penjaring terbanyak Divisyen Premier MHL 2018.

No comments

Powered by Blogger.