Arena : Chiow Chuan belum puas hati prestasi KLHC

Jurulatih Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Lim Chiow Chuan, menyifatkan skuad bimbingannya beraksi di bawah tahap sebenar walaupun menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam aksi Piala Sumbangsih, petang tadi.

Menurutnya, kelebihan dua gol gagal dimanfaatkan, sebaliknya membenarkan pasukan lawan menyamakan kedudukan 2-2 untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti.

Bekas penolong jurulatih negara itu nyata tidak gembira sambil mengakui KLHC bergelut untuk menyaingi tentangan THT yang mengawal rentak permainan.

“Selepas mendahului, sepatutnya pemain-pemain beraksi lebih baik, malangnya kami kehilangan dua mata berharga.

“Saya berharap dengan pengalaman yang ada, kami akan menunjukkan persembahan lebih baik dalam perlawanan berikutnya,” ujar Chiow Chuan.

Dalam aksi di Stadium Hoki Batu Buruk itu, KLHC mengejutkan kem tuan rumah dengan mendahului menerusi jaringan sudut penalti Jang Jonghyun (m-16) dan jaringan padang Muhammad Hafizuddin Zaidi (m-24).

THT yang dibantu sokongan padu penyokong sendiri bangkit selepas Faizal Saari menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-44 sebelum Gonzalo Peillat menyamakan kedudukan dua minit sebelum tamat perlawanan.

Kedudukan itu menyaksikan aksi berlanjutan ke penentuan penalti dengan Roslan Jamaluddin muncul wira KLHC selepas menafikan pukulan Faizal Saari, sekaligus membantu kemenangan 5-4.

Sementara itu, kegagalan menyempurnakan penentuan penalti dalam dua perlawanan berturut-turut tidak menjejaskan semangat Faizal, yang optimis dengan prestasi yang ditampilkan THT.

Faizal berkata pengalaman yang dimiliki penjaga gol lawan memainkan peranan sambil berikrar mahu melupakan dua trofi yang terlepas daripada genggaman musim ini.

“Kami sudah memberikan aksi terbaik dan satu mata adalah keputusan yang positif selepas ketinggalan dua gol,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.