Arena : Kumar guna bajet sendiri berlatih berasingan

Penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, sanggup mengeluarkan belanja untuk melakukan persiapan secara bersendirian selepas namanya turut tersenarai dalam Sukan Komanwel Gold Coast, Australia sungguhpun masih digantung ekoran positif bahan terlarang. 

Ramai menganggap jika digantung kerana isu doping, peluangnya untuk beraksi dalam temasya pada April nanti sudah tertutup kerana dia berdepan kesuntukan masa untuk membuat persiapan tatkala hukuman dan proses pendengaran kes anti-doping melibatkannya masih belum diputuskan.  

"Sebaik mendapat tahu berita ini, saya agak terkejut memandangkan saya masih digantung buat sementara waktu.

"Apapun, saya perlu menunggu keputusan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH). Kalau isu ini selesai, jadi bolehlah saya beraksi dalam Sukan Komanwel," ujar Penjaga Gol Terbaik Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2017 itu. 

Bagaimanapun, untuk mengekalkan prestasi susulan tidak dibenarkan berlatih dengan mana-mana pasukan, termasuk skuad kebangsaan, Kumar menjelaskan: "Ketika ini, saya melakukan latihan kecergasan fizikal dan latihan di gimnasium sahaja. 

"Saya tidak dibenarkan menjalani latihan bersama pasukan atau kelab. Saya kini berlatih bersendirian tetapi saya tidak dapat melakukan latihan penjaga gol." 

Sehubungan itu, dia bercadang untuk mendapatkan beberapa bantuan daripada pihak luar.

"Saya sudah berbincang dengan beberapa rakan rapat dan mereka sanggup membantu saya menjayakan sesi latihan penjaga gol," katanya lagi. 

No comments

Powered by Blogger.