BHarian : Peillat, Faizal taruhan THT sambar Piala Sumbangsih

KUALA TERENGGANU: Pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia dari Argentina, Gonzalo Peillat dan penyerang kebangsaan, Faizal Saari menjadi taruhan terbaik Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam misi memburu kejuaraan Piala Sumbangsih bertemu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), petang Jumaat ini.

Pengurus THT, Zaki Mohd Noor berkata, dua peledak utama itu yang kian serasi bakal menjadi nadi pasukan untuk memburu trofi pertama kejuaraan itu.

"Berdasarkan barisan pemain yang ada, kita adalah pasukan terbaik musim ini terutama dengan kehadiran Peillat, justeru beraksi di depan penyokong sendiri kami yakin THT mampu mencipta sejarah.

"Bagaimanapun kami berharap pemain yang akan diturunkan jurulatih, Sarjit Singh mampu melaksanakan tugas dengan lebih berkesan apatah lagi beraksi di halaman sendiri yang bakal disaksikan Menteri Besar Terengganu," kata Zaki.

Selain dua peledak itu, juara Piala TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) empat tahun berturut-turut mulai 2014 itu juga mempunyai deretan 'senjata' berbisanya iaitu Pablo Javier Trevisan, Barreiros Lopez dan Joaquin Menini dari Argentina.

Pemain kebangsaan Jerman, Moritz Erhad dan pemain kelahiran Pakistan, Ahmad Shakeer Butt serta pemain tengah kreatif kebangsaan, Mohd Fitri Saari, turut menjadi sandaran skuad dari Pantai Timur itu.

Ahad lalu, naib juara MHL musim lalu itu gagal mempertahankan gelaran Piala Tan Sri P Alagendra, selepas tumpas 4-3 kepada KLHC menerusi pukulan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 pada masa sebenar.

Musim lalu THT yang turut mengidam merebut trofi Piala Sumbangsih gagal melakukannya selepas tumpas 5-6 menerusi pukulan penalti selepas kedudukan terikat 2-2 pada masa sebenar di SHBB.

"Kekalahan kepada KLHC Ahad lalu salah satu faktor pemain tempatan dan import belum serasi, tapi selepas beberapa perlawanan, keserasian pemain kini kian terserlah untuk mengecewakan lawan," kata Zaki.

No comments

Powered by Blogger.