BHarian : TLHT 'berperang' tanpa peledak utama

KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) yang bakal membuat perhitungan dengan pasukan MSN Kedah dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia di Stadium Hoki Batu Buruk, petang esok beraksi tanpa penyerang utamanya, Nur Syafiqah Mohd Zain.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur yang juga penyerang skuad kebangsaan itu tidak dapat beraksi bersama pasukan TLHT kerana menduduki peperiksaan semester di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

"Hajat saya untuk membantu pasukan meneruskan rentak kemenangan selepas berjaya menundukkan pasukan KL Wipers 4-0 sebelum ini, tapi disebabkan akan menduduki peperiksaan, saya terpaksa menelan kepahitan kerana tidak dapat membantu pasukan.

"Saya harapkan semua pemain yang diketuai kapten kebangsaan, Siti Noor Amarina Ruhani, mampu beraksi dengan cemerlang dalam misi untuk mengutip tiga mata apatah lagi bermain di laman sendiri," kata Syafiqah pelajar jurusan sains sukan.

Pada perlawanan pertama 18 Januari lalu, juara Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) dan Piala Vivian May Soars musim lalu itu hanya mencatat keputusan seri 1-1 dengan pasukan Blue Warriors.

Mengulas lanjut, pemain berusia 23 tahun itu juga berharap rakan pemain kebangsaan lain terutama Siti Rahmah Othman, Fazilla Sylvester Silin, Norazlin Sumantri, Juliani Mohamad Din dan Mas Huzaimah Md Aziz mampu menyerlah esok.

"Kita mahu kekalkan kejuaraan dua piala itu sebagaimana musim lalu dan sebarang keciciran mata akan menyukarkan lagi pasukan memburu kejuaraan," kata bekas pelajar Sekolah Sukan Seri Titiwangsa Kuala Lumpur itu.

No comments

Powered by Blogger.