HMetro : Rutin luar biasa Ismail

Kuala Lumpur: Selepas namanya semakin tenggelam, bekas penyerang hoki negara, Ismail Abu melakukan rutin luar biasa bagi memastikan kecergasannya berada pada tahap terbaik setiap kali menjelang kempen Liga Hoki Malaysia (MHL).

Percaya atau tidak, Ismail yang menyarung jersi Maybank bagi musim 2018 sanggup berulang alik ke Hong Kong setiap hujung minggu untuk beraksi di liga negara itu bersama pasukan Singh Sabah Hockey Club (SSHC).

Menariknya, SSHC menyediakan tiket penerbangan balik hari yang menyaksikan bekas mesin gol negara itu perlu meluangkan masa selama 16 jam pada setiap hari Ahad termasuk tempoh perjalanan dan aksi bagi satu-satu perlawanan.

“Kalau ikutkan, saya belum mencapai prestasi terbaik sewaktu latihan bersama pasukan baru Maybank, tetapi tidak mengapa sebab dari segi kecergasan saya masih OK.

“Ini disebabkan saya masih beraksi secara kompetitif di Hong Kong pada setiap hujung minggu sejak tiga tahun lalu dalam usaha mengekalkan tahap kecergasan saya.

“Rutin saya pada setiap hari Ahad bermula 9 pagi berlepas dari KLIA ke sana dan tiba jam 2 petang, kemudian turun beraksi pada jam 4 petang sebelum menaiki penerbangan pada jam 9 malam untuk pulang ke ibu negara.

“Nak kata penat, kepenatan itu sikit saja dirasai kerana saya sudah biasa dengan rutin ini. Lagipun langkah ini lebih jimat buat pasukan terbabit.”

Lebih bermakna, jelas Ismail, 33, untuk musim ini pasukannya bergelar juara Liga Utama Hong Kong dengan liga berkenaan turut mendapat sambutan pemain Pakistan, India, Kanada dan Britain.

Malah, dua lagi bekas pemain negara iaitu penyerang Izwan Firdaus Tajuddin dan Baljit Singh Charun (pertahanan) turut dikatakan beraksi di Hong Kong baru-baru ini.

Ia bukan kali pertama Hong Kong menjadi destinasi pilihan pemain negara kerana dalam dua dan tiga musim lalu tonggak negara seperti Faizal Saari, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil dan Razie Rahim juga pernah berkelana ke sana.

Ditanya mengenai sasarannya bersama Maybank pada 2018, Ismail yang kontraknya tidak disambung Terengganu Hockey Team (THT) baru-baru ini berkata, dia meletakkan sasaran untuk mara hingga ke separuh akhir Piala TNB.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 9:55 AM

No comments

Powered by Blogger.