Kosmo : Nuraini mahu tambah ‘sengat’ drag flick di kempen MWHL

PAKAR flick skuad hoki wanita negara, Nuraini Abdul Rashid ‘dahagakan’ lebih banyak jari­ngan menerusi drag flick pukulan sudut penalti selepas mengungguli carta penjaring terbanyak Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) 2018 dengan lima gol setakat ini.

Ia terhasil selepas Nuraini, 29, berada dalam kelas tersendiri dengan meledak empat gol membantu PKS-Uniten-KPT menewaskan Majlis Sukan Nege­ri (MSN) Kedah 8-0 pada aksi kedua di Padang Hoki Sekolah Menengah Kebangsaan Lela Pahlawan, Kulim kelmarin.

Bagaimanapun, pemain te­ngah yang boleh bermain di posisi pertahanan itu belum gembira dengan teknik drag flick dilakukannya walaupun dia boleh dikatakan sudah menemui semula sentuhan gol menerusi pukulan sudut penalti.

“Satu permulaan yang baik buat diri saya kerana drag flick saya tidak begitu menjadi pada kejohanan terakhir iaitu Piala Tun Abdul Razak. Ketika itu saya cuma menjaringkan tiga gol tetapi hanya satu melalui pukulan sudut penalti.

“Memang puas hati kerana berjaya menjaringkan gol dan mendapat tiga mata. Saya masih mencari rentak lebih baik supaya dapat menajamkan lagi penyudah melalui pukulan sudut penalti,” katanya.

Ia turut diakui ketua jurulatih PKS-Uniten-KPT yang juga penolong jurulatih skuad wanita kebangsaan, Lailin Abu Hassan tetapi percaya tahap persembahan dan prestasi anak-anak didik­nya itu akan meningkat perlawanan demi perlawanan.

Bagi Lailin, Nuraini menunjukkan tanda positif kerana berjaya meledak empat gol daripada lapan drag flick kelmarin berbanding satu jaringan terhasil dalam empat pukulan sudut penalti diambilnya ketika aksi pertama, Khamis lalu.

Empat lagi gol PKS-Uniten-KPT dalam perlawanan kelmarin diperoleh menerusi dua ja­ringan Fatin Shafika Mahd. Sukri dan masing-masing satu daripada Surizan Awang Noh serta Nurliyana Md. Kip.

Sebagai rekod, kelapan-lapan gol skuad bimbingan Lailin kelmarin terhasil melalui pukulan sudut penalti yang mana ia adalah ‘senjata’ utama mereka musim ini.

Selepas dua perlawanan setakat ini, PKS-Uniten-KPT meng­ungguli carta liga dengan enam mata dan sudah men­jaringkan 15 gol, diekori rapat pasukan tempat kedua, UiTM-KPT yang turut memungut enam mata hasil dua kemena­ngan.

No comments

Powered by Blogger.