Kosmo : Jangan tunggu masalah muncul

DUA perlawanan awal saingan Liga Hoki Wanita Malaysia (MWHL) dianggap medan persediaan buat PKS-Uniten-KPT memperbaiki kelemahan dan mempertingkatkan pasukan sebelum berdepan lawan sebenar, Blue Warriors pada aksi ketiga liga, 25 Januari ini.

PKS-Uniten-KPT memulakan kempen musim ini dengan penuh bergaya apabila berpesta gol membelasah Penang Juniors 7-1 di Padang Hoki Universiti Sains Malaysia (USM) kelmarin walaupun perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-39 kerana masalah cuaca.

Pasukan tempat ketiga musim lalu itu dijangka tidak berdepan masalah mencatatkan kemenangan kedua menentang Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah di Padang Hoki Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Lela Pahlawan, Kulim petang ini.

Ketua jurulatih PKS-Uniten-KPT, Lailin Abu Hassan mengakui, dua perlawanan pertama itu adalah peluang terbaik untuk memantapkan skuad sebelum bertemu Blue Warriors yang dianggap antara pilihan utama menjuarai liga musim ini.

“Semalam (kelmarin) MSN Kedah tewas 0-4 kepada UITM-KPT dan atas kertas, memang kami mempunyai pasukan lebih bagus berbanding mereka. Jadi, sepatutnya tiga mata tiada masalah untuk diraih.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh memandang rendah kemampuan MSN Kedah kerana apa sahaja boleh berlaku. Jika kami leka atau ambil mudah, masalah akan muncul,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Selain PKS-Uniten-KPT dan Blue Warriors, satu lagi pilihan utama ialah juara bertahan, Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) untuk menjuarai gelaran musim ini.

PKS-Uniten-KPT mempunyai keistimewaan tersendiri kerana mempunyai ramai pemain daripada skuad kebangsaan, manakala Blue Warriors pula diperkuatkan dengan tiga tonggak import dari India termasuk bekas kapten negara itu, Ritu Rani.

TLHT turut mempunyai pemain import dari Jerman, Pahila Arnold dan beberapa tonggak berpengalaman skuad kebangsaan termasuk kapten, Siti Noor Amarina Ruhani.

No comments

Powered by Blogger.